Azmizan Atek bersama dua kanak-kanak orang asli mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) menggunakan telefon bimbit ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Pangsun, Hulu Langat, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 JANUARI 2021.

HULU LANGAT – Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mampu memberi keberkesanan sekiranya pelajar atau murid mempunyai capaian Internet yang pantas serta lengkap dengan peranti elektronik.

Namun situasi sebaliknya  berlaku kepada pelajar yang tidak punya akses sedemikian terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pinggir bandar dan pedalaman.

Masalah yang dialami sudah pasti merencatkan perkembangan pembelajaran dalam talian.

Siti Nur Khatijah Abdullah (dua kiri) memerhatikan adiknya, Muhammad Jumaidi Omer Faruk, 14 (dua kanan), Juil Omer Faruk, 13 (kanan) dan Nur Rara Caiser Omer Faruk, 9, mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) menggunakan telefon bimbit ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Pangsun, Hulu Langat, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 JANUARI 2021.

Siti Nur Khatijah Abdullah, 26, dari suku Temuan berkata, ketiga-tiga adiknya berdepan kesukaran dalam menjalani PdPR kerana perlu berkongsi satu telefon pintar miliknya, selain masalah capaian Internet yang perlahan.

“Memang susah sedikit kerana telefon hanya satu sahaja lepas itu terpaksa bahagikan penggunaan antara tiga beradik ini yang berlainan sekolah.

“Jadi ada tiga kumpulan WhatsApp yang berbeza kerana seorang baharu darjah 3 manakala dua lagi yang lelaki ini bersekolah di tingkatan satu dan dua.

“Internet pula selalu habis dan perlu keluarkan duit lebih sedikit untuk tambah nilai, capaian pula tak menentu kadang kala tiada masalah dan ada hari yang perlahan bergantung kepada cuaca,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette di Kampung Orang Asli Pangsun di sini hari ini.

Siti Nur Khatijah yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu menambah, dia memantau pelajaran Muhammad Jumaidi Omer Faruk, 14, Juil (13 tahun) dan Nur Rara Caiser (9 tahun) ketika ibu bapanya keluar mencari rezeki.

Katanya lagi, sebagai seorang kakak, dia bertanggungjawab dalam memastikan adik-adiknya menyiapkan latihan dan kerja sekolah yang diberikan oleh guru.

“Mereka ini rindu hendak pergi sekolah sebenarnya. Mereka kata belajar online tidak fokus kerana ramai kawan-kawan datang ke rumah ajak bermain,” katanya.

Azmizan Atek,

Sementara itu, menurut Azmizan Atek, 15, penggunaan Internet amat penting ketika menjalani PdPR kerana dia perlu mengakses laman YouTube namun capaian Internet di kawasan tersebut tidak berapa memuaskan.

Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil itu berkata, masalah Internet yang sering dihadapi membuatkannya rindu untuk ke sekolah seperti biasa dan belajar secara bersemuka dengan guru.

“Masalah data Internet kadang-kadang ‘slow’ kadang kala okay.

“Selalunya saya guna telefon mak atau ayah kerana seorang lagi kakak ada telefon sendiri untuk belajar ‘online’,” katanya.

Bagi Murni Kassim, 31, akses Internet yang terlalu perlahan amat menyukarkan anak saudaranya, Nur Amanda Amani, 9, mengikuti PdPR.

Murni Kassim

Murni yang juga merupakan Orang Asli suku Temuan itu menetap di Kampung Melut, Sepang namun pulang ke rumah keluarganya di sini sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

“Hari ini semua ibu bapa pergi ke SMK Abdul Jalil untuk mengambil buku teks jadi saya di rumah tolong pantau anak kakak serta anak saya sendiri yang berusia lapan tahun menjalani PdPR.

“Masalah Internet bila kita buka YouTube tersangkut-sangkut, cikgu sedang bercakap selepas itu telefon ‘hang’ pula.

“Baru seminggu sekolah buka jadi tak banyak lagi yang mereka belajar,” jelasnya. – Malaysia Gazette