Banyak pemilik kediaman kini menjadikan premis mereka sebagai penginapan jangka pendek. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Permintaan dalam negara bagi hartanah yang dijual atas tangan (subsale) pada 2020 jatuh sebanyak 1.3% tahun ke tahun.

Manakala permintaan terhadap kediaman bertingkat tinggi menurun seiring dengan harga manakala permintaan terhadap rumah teres kekal positif dengan pertumbuhan modal 2.6%.

Di antara ibu negeri di Malaysia, hanya Shah Alam dan Seremban merekodkan permintaan positif, masing-masing sebanyak 1.7% dan 0.9%.

Permintaan terhadap Pusat Bandaraya KL (KLCC) menguncup sebanyak 8.9% dengan penurunan pertumbuhan modal sebanyak 11% manakala permintaan terhadap George Town menguncup sebanyak 11.9% dengan penurunan pertumbuhan modal sebanyak -8.7%.

Akibatnya, harga hartanah jatuh di kedua-dua bandar raya ini, menurut laporan Property Demand Analytics.

Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah melembabkan pertumbuhan ekonomi negara, permintaan terhadap hartanah pada separuh pertama 2020 mula pulih apabila sekatan dilonggarkan.

Angka kunjungan pengguna ke laman web iProperty.com.my berada pada paras paling rendah pada April 2020 setelah PKP dikuatkuasakan namun angka ini pulih semula apabila permintaan terpendam pengguna melonjakkan minat membeli ke paras lebih tinggi.

Setakat Disember 2020, kunjungan unik bagi penyenaraian hartanah subsale pulih sebanyak 85% berbanding kali pertama PKP diumumkan.

Trend yang serupa turut diperhatikan pada permohonan pinjaman perumahan – peningkatan kunjungan pengguna ke iProperty.com.my didapati seiring dengan peningkatan nilai permohonan pinjaman perumahan oleh pengguna Malaysia berdasarkan maklumat yang diperolehi dari Sorotan dan Perangkaan Bulanan Bank Negara Malaysia bagi November 2020.

Katanya, Kuala Lumpur terus merekodkan permintaan negatif dengan peningkatan perpindahan populasi.

Trend bekerja dari rumah yang kian menjadi kelaziman mendorong ramai orang berpindah ke perumahan mampu milik di pinggir-pinggir bandar di Selangor dan meninggalkan pasaran hartanah KL yang suram.

Permintaan terhadap hartanah di Kuala Lumpur jatuh sebanyak 1.3% dengan penurunan angka kunjungan pengguna bagi apartmen dan rumah pangsa disebabkan antara kumpulan paling teruk terjejas akibat pandemik Covid-19 adalah B40.

Batu Caves mengungguli carta kawasan tertinggi permintaannya di Kuala Lumpur dengan angka kunjungan segmen rumah pangsa meningkat lebih dua kali ganda manakala Setiawangsa merupakan satu lagi kawasan penting dalam senarai ini.

Ramai pengunjungnya berminat dengan hartanah berharga mampu milik iaitu antara RM200,000 ke RM300,000.

Menurut Property Demand Analytics, Selangor, terutama sekali kawasan pinggir bandarnya mendapat manfaat daripada perpindahan keluar populasi ekoran pandemik Covid-19 ini.

Kawasan kediaman pinggir bandar menawarkan rumah lebih besar dengan lebih nilai untuk wang pembeli dan telah menyaksikan pertumbuhan permintaan yang begitu pesat.

Daerah pinggir bandar seperti Puncak Alam, Dengkil dan Semenyih contohnya, berada di atas senarai kawasan dengan permintaan tertinggi di Selangor meskipun bilangan penyenaraian kawasan-kawasan ini adalah terhad.

Pencari hartanah Puncak Alam berminat dengan rumah teres bersaiz keluarga antara 1,250 dan 2,000 kaki persegi dengan harga antara RM300k dan RM400k dan Serendah merekodkan pertumbuhan permintaan tertinggi di Selangor pada 2020, kebanyakan tertumpu pada apartmen dan rumah pangsa berharga kurang daripada RM100,000 bersaiz kurang daripada 750 kaki persegi.

Permintaan keseluruhan hartanah subsale Pulau Pinang menguncup sebanyak 9.5% dengan permintaan bagi kediaman servis jatuh sebanyak 20.4% pada 2020.

Sementara Johor merekodkan penurunan dua digit di semua kategori hartanah, namun rumah teres merekodkan laba modal kerana kebanyakan pembeli rumah di Johor masih menggemari rumah bertanah.

Prospek pasaran hartanah Johor kelihatan cerah sejak Sistem Transit Aliran Johor Bahru–Singapura (RTS) mula dibina baru-baru ini.

Laporan itu berkata, Muar dan Batu Pahat merupakan dua kawasan dengan permintaan tertinggi yang mempunyai beberapa projek kediaman yang sedang dalam pembinaan.

Terdapat trend menaik pada harga hartanah di kedua-dua kawasan ini pada 2020 dan harga median pula setara dengan kawasan di dalam wilayah Iskandar Malaysia. – MalaysiaGazette