Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi pekebun kecil tersusun mencapai sasaran sepenuhnya pada akhir tahun 2020.

Pensijilan MSPO pekebun kecil tersusun dilaksanakan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bersama agensi kerajaan persekutuan dan negeri melibatkan penyertaan 233,191 orang dengan keluasan kawasan tanaman sawit 724,633.32 hektar.

Ini melibatkan penyertaan lapan agensi iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau FELDA dengan keluasan 472,023.91 hektar (100,060 orang), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan atau FELCRA sebanyak 138,816.32 hektar (89,440 orang), dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah atau RISDA dengan keluasan 25,973.89 hektar (14,389 orang).

Selain agensi persekutuan, pekebun kecil berada di bawah pengurusan agensi kerajaan negeri seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak atau SALCRA dengan 51,641 hektar (19,384 orang), dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan atau KESEDAR (16, 934.39 hektar) melibatkan 2,766 orang.

Tiga agensi lagi adalah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) dengan 16,651.71 hektar yang membabitkan 5,895, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak atau PKEINPK 1,635.82 hektar dengan penyertaan 904 orang dan Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (SLDB) sebanyak 957 hektar melibatkan 353 orang.

Selain pencapaian 100% pekebun kecil tersusun, pencapaian sektor ladang dan kilang kelapa sawit juga hampir mencapai sasaran sepenuhnya.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata, sehingga 31 Disember 2020, seluas 5.20 juta hektar atau 88.25 % daripada 5.9 juta hektar kawasan yang ditanam sawit di Malaysia telah memperoleh sijil MSPO.

Sejumlah 434 kilang kelapa sawit atau 96.02 peratus daripada 452 kilang kelapa sawit juga telah mendapat sijil MSPO.

Bagi pekebun kecil persendirian, seluas 311,739.51 hektar (31.61 %) kawasan tanaman sawit telah dipersijilkan MSPO melibatkan 94,328 orang (37.74%).

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersama MPOB dan MPOCC giat mempromosikan pensijilan MSPO bagi memastikan pengeluaran minyak sawit mampan yang dihasilkan oleh Malaysia.

MPOB memberi tumpuan bagi pensijilan MSPO pekebun kecil persendirian yang mengusahakan kebun sawit di seluruh negara melalui penyertaan Kelompok Pensijilan Minyak Sawit Mampan atau SPOC.

Kerajaan telah melanjutkan tempoh pelaksanaan pensijilan MSPO bagi pekebun kecil yang berakhir pada 31 Disember 2020 dan pekebun kecil yang masih belum melaksanakan pensijilan MSPO akan menerima surat peringatan yang akan dikeluarkan oleh MPOB bermula 1 Januari 2021.

Bermula 1 Julai 2021, MPOB akan memulakan tindakan kompaun dan mulai 1 Januari 2022, pekebun kecil yang masih gagal mendaftar atau memulakan proses pensijilan MSPO akan berdepan tindakan pembatalan, gantung lesen atau lesen tidak diperbaharui.

Pendaftaran MSPO boleh dilakukan melalui dalam talian di mspo.mpob.gov.my atau di 53 pejabat cawangan MPOB di seluruh negara.

MPOB juga memperkenalkan "kaunter bergerak MSPO" yang akan berada di kawasan-kawasan strategik bagi pekebun kecil mendaftar Pensijilan MSPO.

Pelaksanaan Skim MSPO yang meliputi sektor ladang, pekebun kecil dan kilang kelapa sawit bertujuan meningkatkan pengeluaran minyak sawit mampan dan penjenamaan minyak sawit Malaysia yang menyumbang peningkatan daya saing industri sawit di peringkat global.

Pelaksanaan Pensijilan MSPO yang menitikberatkan amalan pertanian baik, pematuhan terhadap undang-undang, pemuliharaan alam sekitar dan keselamatan dan kesihatan pekerjaan akan meningkatkan produktiviti dan
kualiti minyak sawit Malaysia.

Pematuhan terhadap Pensijilan MSPO membuktikan komitmen kerajaan Malaysia dalam aspek kemampanan sejagat di samping menambahbaik amalan perburuhan yang ditetapkan di peringkat antarabangsa.- MalaysiaGazette