Petugas TUDM memunggah barangan yang hendak diterbangkan ke Kota Kinabalu, Sabah pagi tadi

KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggerakkan pesawat angkut A400M bagi membawa barang-barang bantuan kemanusian kepada mangsa banjir di Sabah, pagi tadi.

Dalam satu kenyataan TUDM memaklumkan, penghantaran barangan tersebut merupakan usaha menerusi Program Mindef Prihatin.

Katanya, antara barangan itu adalah kain batik, kain pelikat, telekung, tilam, tikar, kit kesihatan, baju sejuk kanak-kanak dan selimut.

“Selain itu, TUDM turut membawa 3,173 kilogram kotak bantuan kemanusiaan yang disumbangkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mana turut akan disalurkan kepada rakyat Sabah yang terkesan dengan banjir,”demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, urusan memuat naik barang-barang bantuan kemanusiaan ke dalam pesawat bermula seawal pukul 5 pagi oleh anggota TUDM dari Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang serta loadmaster pesawat A400M.

Pesawat kemudiannya selamat berlepas ke Kota Kinabalu pada pukul 7 pagi, katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, TUDM terus komited melaksanakan penghantaran alatan perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia serta NGO khusus dalam menangani Covid-19.

TUDM juga katanya, turut membawa pulang sampel Covid-19 daripada Labuan, Tawau dan Kota Kinabalu ke Subang untuk dihantar bagi pelaksanaan ujian di makmal semenanjung. – MalaysiaGazette