Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menafikan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) iaitu Jabatan di bawah KKMM terlibat dalam penerbitan poster yang dimuat naik di akaun Twitter Tangga Putra Perdana semalam.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menafikan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) iaitu Jabatan di bawah KKMM terlibat dalam penerbitan poster yang dimuat naik di akaun Twitter Tangga Putra Perdana semalam.

Hantaran di akaun Twitter tersebut memaparkan poster yang menggunakan nama mirip J-KOM iaitu ‘diterbitkan oleh Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-KOM)’ dan jata yang tertera nama Kementerian Komunikasi dan Mutimedia Malaysia.

J-KOM merupakan singkatan kepada Jabatan Komunikasi Komuniti dan pada masa ini masih belum mempunyai akaun rasmi media sosial kerana tarikh berkuatkuasa jabatan ini adalah pada 1 Februari depan, kata satu kenyataan KKMM hari ini.

“Penggunaan jata atas nama kementerian dan Jabatan oleh pihak lain tanpa kebenaran merupakan tindakan yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab serta menimbulkan kekeliruan orang ramai,” kata kenyataan yang sama.

Justeru itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa merujuk kepada laman web rasmi KKMM di www.kkmm.gov.my dan
akaun media sosial rasmi KKMM untuk maklumat sahih berhubung J-KOM.- MalaysiaGazette