Penguatkuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan terhadap barang-barang keperluan PdPR di sekitar Selangor. Gambar: Facebook KPDNHEP Selangor

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor melancarkan Ops Catut 8.0 bermula semalam hingga 8 Febuari depan.

Pengarahnya, Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata, Ops Catut yang dijalankan membabitkan barang keperluan elektrik di seluruh daerah.

Beliau berkata, ia membabitkan komputer meja dan riba, telefon bimbit, pencetak serta tablet memandangkan permintaan tinggi ketika ini susulan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Ops ini bagi membendung salah laku atau manipulasi harga oleh peniaga. Berikutan itu seramai 200 pegawai penguat kuasa akan meninjau harga atau unsur keuntungan tidak munasabah sepanjang tempoh ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi KPDNHEP Selangor hari ini.

Muhammad Zikril Azan berkata, syarikat atau peniaga yang dikesan melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 Seksyen 14(1) boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 hingga RM1 juta atau denda lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Saya memberi amaran dan peringatan kepada mereka supaya tidak mengambil kesempatan dengan mengambil keuntungan tidak munasabah ketika permintaan meningkat ini.

“Orang ramai boleh membuat aduan di [email protected], [email protected] atau hubungi talian pusat 1800886800 serta 03-88826245/6088.

“Mereka juga boleh hadir ke 73 cawangan KPDNHEP seluruh negara serta menerusi aplikasi WhatApps di talian 019-2794317,” tambahnya. – MalaysiaGazette