Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang pembantu guru mengalami kerugian sebanyak RM81,133 selepas wang simpanannya lesap akibat diperdaya seorang anggota polis untuk memuat turun aplikasi telefon bimbit bagi membantu siasatan pengubahan wang haram, minggu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa seorang wanita berusia 35 tahun itu dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Ahad lepas memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai selama lebih setahun.

Mangsa kemudiannya diarahkan berurusan dengan pegawai LHDN di Cyberjaya sebelum panggilan itu disambungkan kepada seorang lelaki kononnya anggota polis berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang.

Katanya, ‘inspektor’ berkenaan telah memaklumkan kad pengenalan mangsa digunakan untuk membuka akaun bank yang disyaki terlibat dengan pengubahan wang haram dan mendakwa boleh membantu mangsa membuat laporan polis jika berkongsi maklumat peribadi.

“Suspek telah memberikan satu pautan (link) yang perlu dimuat turun bagi tujuan siasatan, selain mangsa perlu membuat rayuan kepada pegawai atasan JSJK supaya kes itu diselesaikan segera,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa telah berkongsi maklumat empat akaun simpanannya termasuk di Tabung Haji kerana bimbang dikenakan tindakan undang-undang jika enggan bekerjasama.

Menurut Mohd Wazir, mangsa mulai curiga apabila mendapati nombor telefon ‘inspektor’ itu disenaraikan sebagai ‘scammer’ selepas memeriksa nombor berkenaan di aplikasi ‘Whoscall’ dan cubaan untuk mengakses bank secara dalam talian gagal.

“Mangsa membuat pemeriksaan di bank dan mendapati terdapat banyak transaksi pengeluaran dibuat tanpa pengetahuannya,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis, 225 kilometer dari sini semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Justeru, Mohd Wazir menasihatkan orang ramai agar tidak mendedahkan maklumat peribadi kepada mana-mana individu termasuk yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis menerusi panggilan telefon, sebaliknya mendapatkan pengesahan dan nasihat di balai polis berhampiran.

— BERNAMA