Seorang Pengarah Perancangan Pembangunan Majlis Perbandaran Kajang, Datuk Nizam Sahari diiringi pegawai SPRM didakwa atas pertuduhan salah guna kuasa di Kompleks Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 27 JANUARI 2021.

SHAH ALAM – Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari terhadap tuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan kelulusan sebuah salah guna kuasapada tahun 2016.

Tertuduh, Datuk Nizam Sahari, 54, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Tertuduh didakwa telah menggunakan jawatan sebagai pegawai badan awam iaitu Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan Gred J52 MPKj untuk mendapatkan kelulusan permohonan kebenaran merancang bagi cadangan satu blok bangunan perniagaan yang mengandungi empat unit kedai pejabat di Lot 7330, Mukim Kajang, Hulu Langat atas nama Tetuan Permata Cerah Sdn. Bhd. milik adik perempuannya berusia 50 tahun.

Kesalahan tersebut di lakukan di Bilik Mesyuarat Cempaka Putih, MPKj pada 14 Mac 2016.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membentangkan permohonan kebenaran merancang tersebut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat MPKj Bil. 5/2016 dan mengeluarkan Borang C (1) iaitu kebenaran merancang kepada Tetuan Permata Cerah Sdn. Bhd.

Bagi pertuduhan itu, Nizam didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM20,000 bersama seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM terdekat.

Peguam bela Wan Muhd. Ariff Ameer Wan Normazlan yang mewakili tertuduh tidak membantah perkara itu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan sebutan semula kes ditetapkan 25 Februari depan. – Malaysia Gazette