Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Transit Tahanan (PTP) yang melibatkan Blok Pusat Latihan Pegawai Penjara, Zon 2 dan Zon 3 Penjara Marang, Terengganu
bermula esok sehingga 10 Februari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan itu adalah atas nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jelas beliau, ia juga untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat untuk memastikan tiada penularan jangkitan dalam komuniti.

“Prosuder standard operasi (SOP) PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah
tidak dibenarkan.

“KKM hari ini telah melaporkan situasi peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di Penjara Marang, Terengganu.

“Sehingga semalam, KKM telah melaksanakan 1,262 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 98 kes positif Covid-19 telah direkodkan. Bagaimanapun, kesemua kes positif ini hanya melibatkan tahanan yang ditempatkan di PTP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu, kerajaan turut melaksanakan PKPD di Pusat Koreksional Dungun dan Kuarters Kakitangan untuk tempoh sama.

Kata beliau, ini kerana KKM hari ini telah melaporkan situasi peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di pusat itu.

“Sehingga semalam, KKM telah melaksanakan 1102 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 99 kes positif Covid-19 telah direkodkan yang melibatkan 92 tahanan, dua kakitangan dan lima kontak rapat,” katanya. – MalaysiaGazette