Saima Mohsin. foto agensi

MICHIGAN – Saima Mohsin yang berketurunan Amerika-Pakistan bakal menjadi wanita Muslim pertama dipilih sebagai Peguam Negara bagi Detroit.

Akhbar The Detroit Free Press melaporkan, Mohsin, 52, bakal menggantikan Matthew Schneider yang melepaskan jawatannya.

Schneider, yang berkhidmat selama tiga tahun di Michigan memberitahu media, Mohsin, yang ketika ini Penolong Peguam Negara di Michigan, akan menggantikannya.

Lahir di Pakistan, Mohsin telah menjadi Pendakwa Raya Persekutuan selama lebih sedekad dan mula berkhidmat di Pejabat Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) sejak 2002.

”Sebagai seorang Muslim dari benua Asia, beliau akan membawa kepelbagaian dalam posisi yang cukup penting, iaitu Ketua Penguat kuasa Persekutuan di bahagian timur negeri ini,” menurut akhbar itu lagi.

Mengikut Perlembagaan AS, Peguam Negara di negeri juga merupakan ketua penguatkuasaan undang-undang Persekutuan di kawasan mereka dan turut terlibat dalam proses litigasi yang membabitkan Kerajaan AS.

Presiden mempunyai kuasa untuk melantik Peguam Negara di setiap 94 kawasan dan daerah Persekutuan AS

Pelantikan Mohsin bagaimanapun perlu disahkan Dewan Senat AS sebelum beliau boleh menjawat jawatan itu secara kekal. -MalaysiaGazette