Wisma Darul Aman.-pix FB

KUALA LUMPUR – Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman di sini, akan ditutup sementara susulan berlaku penularan wabak COVID-19, di satu jabatan kerajaan negeri yang terletak di wisma berkenaan.

Menurut makluman yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, pihak pentadbiran di Pejabat Menteri Besar akan ditutup bermula 31 Jan hingga 2 Feb dan akan dibuka semula pada 3 Feb.

Turut ditutup ialah pejabat Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negeri Kedah (JITU) yang terletak di wisma sama, bermula hari ini sehingga 6 Feb bagi membolehkan proses sanitasi dan kuarantin kendiri semua kakitangan pentadbiran itu dijalankan, susulan seorang kakitangan didapati positif COVID-19.

Selain itu, menerusi satu lagi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook sama, pihak Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) turut memaklumkan, operasi mereka juga ditutup bermula hari ini sehingga 6 Feb.

Menurut hantaran itu, untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi LSANK melalui [email protected] atau Facebook rasmi Lembaga Sumber Air Negeri Kedah.- MalaysiaGazette