KUALA LUMPUR – Jumlah eksport Malaysia pada bulan Disember tahun lalu mencatatkan nilai bulanan tertinggi RM95.7 bilion, meningkat 10.8 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun 2019, melebihi pertumbuhan import selama lapan bulan berturut-turut.

Import juga kembali meningkat mencatat pertumbuhan 1.6 peratus kepada RM75.0 bilion setelah penurunan selama sembilan bulan berturut-turut.

etua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata , eksport Malaysia meneruskan momentum positifnya pada bulan Disember 2020.

Peningkatan eksport disokong oleh eksport semula dan eksport domestik manaka;a eksport semula berjumlah RM17.6 bilion menyumbang 18.4 peratus kepada jumlah eksport, meningkat 22.9 peratus.

Sementara itu, eksport domestik bernilai RM78.1 bilion meningkat 8.3 peratus tahun ke tahun.

Lebihan dagangan meningkat 64.9 peratus kepada RM20.7 bilion tahun ke tahun.

Menurutnya, jumlah dagangan pada Disember 2020, berjumlah RM170.8 bilion meningkat 6.5 peratus berbanding Disember 2019.

Peningkatan dalam eksport didorong oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura (+RM2.2 bilion), China (+RM1.9 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.7 bilion), India (+RM1.62 bilion), Hong Kong (+RM1.60 bilion) dan Kesatuan Eropah (+RM988.1 juta).

Sementara itu, kenaikan import terutamanya dari China (+RM2.1 bilion), India (+RM772.9 juta), Hong Kong (+RM518.7 juta) dan Taiwan (+RM466.0 juta).

Mohd Uzir berkata, produk utama yang menyumbang kepada peningkatan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (+RM5.6 bilion); keluaran getah (+RM3.0 bilion) dan minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit (+RM2.6 bilion).
Kenaikan import dicatatkan bagi elektrik dan elektronik (+RM2.7 bilion) dan kimia dan
bahan kimia (+RM734.7 juta).

Sementara itu, import mengikut penggunaan akhir mencatat peningkatan bagi barangan penggunaan yang meningkat 3.3 peratus atau RM223.9 juta kepada RM7.0 biliion dan merangkumi 9.4 peratus daripada jumlah import.

Walau bagaimanapun, import bagi barangan perantaraan dan barangan modal mencatatkan penurunan dan import barangan perantaraan bernilai RM39.8 bilion atau 53.1 peratus sumbangan kepada jumlah import, menurun 5.0 peratus (-RM2.1 bilion).
Import barangan modal turun 2.0 peratus atau RM169.5 juta kepada RM8.4 bilion.

Mohd Uzir Mahidin menambah, seiring dengan permintaan global yang lebih lemah dan keadaan ekonomi luaran yang tidak memberangsangkan kerana Covid-19, jumlah eksport Malaysia pada 2020 menyusut 1.4 peratus kepada RM981.0 bilion, berbanding tahun sebelumnya sementara import menurun 6.3 peratus atau RM53.2 bilion kepada RM796.2 bilion.

Jumlah dagangan pada 2020 mencapai RM1.8 trilion, menyusut 3.6 peratus tahun ke tahun sementara lebihan dagangan meningkat 26.9 peratus kepada RM184.8 bilion, lebihan dagangan terbesar yang pernah dicatatkan setakat ini. – MalaysiaGazette