Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meningkatkan inisiatif transformasi digital pada tahun ini bagi memastikan masyarakat dapat menghadapi perubahan cara kerja dalam norma baharu.yang memerlukan kecekapan, kecepatan dan lebih telus.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, dasar kerajaan menerusi Inisiatif Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian atau 4IR akan diperkasa bagi memenuhi keperluan hidup masa kini.

Antara langkah-langkah dipacu termasuk menggalakkan semua permohonan perkhidmatan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dijalankan secara dalam talian serta memantapkan pangkalan data sedia ada melalui sistem eBantuan JKM.

“Saya berharap agar tahun 2021, inisiatif dalam talian terus diterokai dan diperkembangkan,” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun 2021 bagi kementerian itu dalam sidang media secara maya hari ini.

Menurutnya, antaran kaedah terbaik untuk memaklumkan penyampaian bantuan kepada penerima bantuan adalah menerusi telefon bimbit kerana pantas, efisien dan tepat.

Beliau berkata, kementerian itu diberi peruntukan sebanyak RM2.5 billion dalam Belanjawan 2021 yang akan digunakan untuk meneruskan pelbagai inisiatif sama ada penambaikan program yang sedia ada mahupun program baharu yang diperkenalkan.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak RM2.4 billion adalah bagi peruntukan mengurus dan selebihnya bagi peruntukan pembangunan.

“Tambahan lagi, kementerian juga telah diberikan peruntukan tambahan sebanyak RM791 juta,” ujarnya.-MalaysiaGazette