Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti dan mengkaji terlebih dahulu cadangan-cadangan penambahbaikan yang dikemukakan oleh Transparency International Malaysia (TI-M) dalam usaha pencegahan rasuah di negara ini.

Dalam kenyataan di sini, SPRM berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung kedudukan dan skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 yang telah diumumkan TI-M semalam.

Dalam pada itu, SPRM juga menyambut baik maklum balas positif berhubung CPI 2020 iaitu berkaitan Pelan Antirasuah Nasional (NACP), penguatkuasaan Seksyen 17A Akta SPRM serta siasatan kes-kes berprofil tinggi yang sedang berjalan.

Semalam kedudukan Malaysia jatuh enam anak tangga ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International bagi tahun 2020.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, skor Malaysia juga menurun dua mata kepada 51 daripada 100 mata berbanding tahun sebelumnya, dalam tinjauan CPI itu.

Skor dan kedudukan CPI adalah berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar yang mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam negara ini pada skala sifar (dianggap paling rasuah) sehingga 100 (dianggap paling bersih). – MalaysiaGazette