Pekerja asing beratur panjang bagi melakukan ujian saringan berikutan peningkatan kes penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Central Spectrum Klang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Seramai 251,101 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan sejak 1 Disember 2020 yang lalu.

Jumlah tersebut kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melibatkan 10,500 majikan.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 4,735 orang pekerja asing telah disahkan positif Covid-19.

Katanya, menurut Kementerian Sumber Manusia semalam seramai 8,601 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, 133 orang disahkan positif wabak berkenaan.

Menurut Ismail Sabri, sehingga kini juga, sebanyak 887 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini.

“Ia selari dengan arahan kerajaan yang mewajibkan semua pekerjawarga asing khususnya di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, WP Kuala Lumpur dan Labuan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dan kos ujian saringan ditanggung oleh majikan masing-masing,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu Ismail Sabri turut memaklumkan sejak 24 April 2020, seramai 112,941 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 76 hotel dan 13 Institut Latihan Awam
(ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

Sehingga kini katanya, 931 individu yang tiba di semua pintu masuk antarabangsa telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

Manakala 104,706 orang dibenarkan pulang manakala 477 lagi telah dibawa ke hospital.-MalaysiaGazette