UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) Melaka melebar kolaborasi dan keterlibatan strategik bersama para pelajar dan alumni menerusi program Sesi Penyerahan Sumbangan Wakaf Dusun Ilmu UiTM Cawangan Melaka daripada pelajar-pelajar dan alumni Kolej Lekiu.

Program yang diadakan dalam keterbasan fizikal akibat pandemik Covid-19 ini berjaya mengumpulkan sumbangan wakaf sebanyak RM1,000 yang disiarkan secara langsung menerusi YouTube live dan Facebook rasmi UiTM Cawangan Melaka, anjuran Unit
Wakaf, Zakat dan Sedekah (EL-WAZIF) dan Jawatankuasa Pengurusan Kolej (JPK) Lekiu.

Rektor UiTM Cawangan Melaka, Profesor Dr. Abd Halim Mohd Noor berkata, program yang dianjurkan ini adalah sebuah manifestasi kolaborasi dan keterlibatan strategik antara pelajar, alumni dan pihak universiti.

Malah program seperti ini bakal diperluas merentas 26 buah kolej yang berada di UiTM Cawangan Melaka dan bahagian-bahagian di bawah pentadbiran kampus agar budaya berwakaf menjadi antara sebahagian dari budaya.

Menurut beliau lagi, program yang baik dan bermanfaat seperti ini diharapkan dapat diteruskan oleh semua pihak termasuklah Unit EL-WAZIF, Unit Pengurusan Kolej dan Non-Resident, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Majlis Perwakilan Pelajar dan lain-lain dengan melibatkan lebih ramai staf, pelajar, alumni, syarikat-syarikat swasta serta mana-mana individu dalam melestarikan jaringan industri, komuniti dan alumni UiTM Cawangan Melaka.

”Kesepakatan melalui program seperti ini juga penting dalam merealisasikan aspirasi UiTM Cawangan Melaka sebagai sebuah institusi pendidikan yang indah, ceria dan kondusif bertemakan pembangunan teknologi hijau.

Sementara itu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Melaka, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Hajar Hasrol Jono pula berkata, pihak universiti sentiasa memberi galakan kepada para pelajar untuk terlibat aktif dalam apa jua aktiviti ekstra-kurikulum di luar kuliah terutama program-program yang dapat menjana kemahiran insaniah para pelajar dan dapat memberi sumbangan bakti kepada masyarakat dan komuniti.

Menurutnya, Program Sumbangan Wakaf seperti ini boleh dijadikan antara pengisian penting di dalam program Service Learning Malaysia – University For Society (SULAM) yang merupakan satu inisiatif signifikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dirancang untuk memberi kebaikan dan manfaat kepada warga kampus serta masyarakat setempat. – MalaysiaGazette