Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor mahu melakukan kerja-kerja pemuliharaan dan pemeliharaan yang lebih intensif ke atas bangunan-bangunan bersejarah khususnya yang ada kaitan dengan Negeri Selangor di bandar raya Kuala Lumpur.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, ini kerana kebanyakan bangunan seumpamanya memiliki nilai sejarah yang sangat tinggi serta masih menjadi tumpuan destinasi pelancongan di ibu negara.

”Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menasihatkan dan berharap agar pihak berkuasa berkaitan seperti Kementerian Wilayah Persekutuan, Jabatan Warisan Negara dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan pemuliharaan dan pemeliharaan yang lebih intensif terhadap bangunan-bangunan bersejarah khususnya yang ada kaitan dengan Negeri Selangor, yang masih teguh berdiri di sekitar bandaraya Kuala Lumpur,” katanya sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan esok.

Baginda memberi contoh Bangunan Sultan Abdul Samad yang dirasmikan pada tahun 1897 dan pernah menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor semasa Kuala Lumpur menjadi ibu negeri Selangor sehinggalah tahun 1974, apabila ibu negeri Selangor dipindahkan ke Shah Alam.

Mengimbas kembali, baginda juga pernah bertugas sebagai penjawat awam dengan Kerajaan Negeri Selangor di Bangunan Sultan Abdul Samad pada tahun 1968.

Menurut Baginda, bangunan-bangunan bersejarah lain seperti Carcosa Seri Negara (King’s House, Istana Tetamu), Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Gereja St Mary, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat KTM, Istana Negara Lama serta Stadium Merdeka sarat dengan kisah sejarah melibatkan pembentukan negara ini di mana kebanyakan daripadanya mempunyai kaitan rapat juga dengan sejarah awal negeri Selangor.

Senibina Moorish dan Moghul yang melatari reka bentuk bangunan-bangunan bersejarah di sekitar Kuala Lumpur ini juga, jelas baginda, mempunyai cerita unik tersendiri dan seharusnya dipulihara untuk dihargai dan dikagumi oleh generasi akan datang.

Lantaran itu baginda bimbang sekiranya bangunan dan monumen seumpamanya tidak dipulihara secepat mungkin dan terbiar dimamah usia, akhirnya nanti ia akan runtuh atau rosak sehingga tidak boleh diselamatkan lagi.

Jika itu berlaku, kos pemuliharaan akan menjadi lebih tinggi dan seterusnya akan merugikan negara, titah baginda. – MalaysiaGazette