Datuk Shafien Mamat

KOTA BHARU – Tindakan penduduk Orang Asli suku Temiar di Pos Sendrop, Gua Musang melakukan sekatan di laluan masuk ke kampung mereka bagi mengekang penularan COVID-19 tidak menyalahi undang-undang, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

Ini kerana, katanya, laluan itu hanya digunakan oleh penduduk kampung tersebut.

“Tindakan itu sebenarnya tidak salah kerana laluan ke situ hanya dilalui oleh penduduk kampung itu sahaja yang berjumlah kira-kira 500 orang. Namun, mungkin dengan kebimbangan mereka terhadap COVID-19 menyebabkan mereka bertindak sedemikian,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Polis Daerah Gua Musang untuk berjumpa dengan penduduk di petempatan Orang Asli berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut menasihati tok batin agar melaporkan kepada pihak polis berhubung sekatan laluan ke kampung mereka agar tidak disalah anggap oleh pihak lain.

Difahamkan, sejak Disember lalu ada penduduk di beberapa perkampungan Orang Asli termasuk Pos Tuel di Gua Musang bertindak melakukan sekatan di laluan masuk ke kampung mereka kerana bimbang dengan kemasukan orang dari luar yang mungkin membawa jangkitan COVID-19 di situ.

Terdahulu, Shafien menerima sumbangan untuk barisan hadapan yang disampaikan oleh syarikat Raja Perfume Malaysia dan Fahaf Global Sdn Bhd. – MalaysiaGazette