Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Lebih kurang 30,000 keluarga dan individu di Kuala Lumpur dikategorikan sebagai miskin bandar dengan pendapatan kurang daripada RM2,200 sebulan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah itu merupakan anggaran kasar dan gambaran kepada tahap kemiskinan warga ibu kota.

Justeru katanya, setiap bantuan yang diusahakan oleh kementeriannya perlu mengambil kira jumlah yang berada di tahap miskin bandar ini.

“Data oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak 23,000 ketua keluarga yang perlu diberi bantuan manakala data oleh Kebajikan Masyarakat pula ialah 13,000 dan pihak kementerian ada 20,000 yang perlu diberikan bantuan. Jadi kita rasa mungkin ada pertindihan dalam angkanya.

“Tapi kalau kita tengok yang tinggal di PPR tidak semua, secara umumnya kita ada 63,000 rumah dan separuh daripada itu berada di bawah Garis Kemiskinan angkanya jadi sekitar 30,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021 yang diadakan menerusi Google Meet, hari ini.

Selain itu, menurut Annuar, sebanyak 178 kawasan penempatan di Kuala Lumpur yang dihuni oleh keluarga yang berpendapatan rendah dan perlu dibantu.

Justeru, beliau berkata kementeriannya akan terus mencari jalan penyelesaian membantu penduduk yang dikategorikan sebagai  miskin bandar.

Dalam pada itu, Annuar berharap Program MyBeras@Wilayah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dapat dilaksanakan secara telus.

Tiada sesiapa yang  boleh tercicir daripada menerima bantuan, ujarnya.

“Tujuan kami melakukan ini, kami di kementerian, Perbadanan Putrajaya (PPj), Perbadanan Labuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan ingin menzahirkan budaya kecaknaan.

“Kita akan terus memperbanyakkan program-program kecaknaan dan sebolahnya tidak ada satu orang pun yang tercicir, mesti sampai.

“Sebab itu yang penting program ini saya harap ia dikendalikan dengan baik. Sebab kita gunakan konsep empowering comunitee di mana pengagihan kita serahkan kepada pimpinan komuniti sendiri.

“Saya harap ia tidak disalahgunakan dan sekiranya ada sesiapa merasakan nama mereka tercicir atas apa juga sebab saya harap mereka tidak terlalu risau boleh menemui jawatankuasa zon atau sub zon untuk memaklumkan dan program ini membenarkan orang menerima lebih daripada sekali,” ujarnya.

Terdahulu beliau memaklumkan program MyBeras akan dilaksanakan dengan menggunakan pusat-pusat penyampaian di kawasan Parlimen dan Sub-sub Zon di bawahnya mingikut wakil penduduk untuk diagihkan kepada golongan B40.

Jelas beliau, kaedah itu dapat mengelakkan pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun pada hari ini kita mula lancarkan insyAllah tidak akan ada kelihatan beratur panjang-panjang kerana kita buat ketetapan memecah kecilkan ke pusat-pusat penyampaian di kawasan Parlimen dan Sub-sub Zon di bawahnya mingikut wakil penduduk.

“Supaya tidak ada barisan atau berebut, berhimpun ramai. Kupon-kupon diedar kepada kumpulan sasar terlebih awal dikenal pasti dan digalakkan dihantar terus ke rumah. Sementara saya tidak mahu melihat sebarang bentuk pelanggaran SOP,” katanya. – MalaysiaGazette