Empat suspek lelaki tempatan ditahan disyaki terlibat dalam pergaduhan berkumpulan dalam kejadian semalam di Taman Juara Jaya, Batu 9 Cheras.

KAJANG – Polis menahan empat suspek lelaki disyaki terlibat dalam pergaduhan berkumpulan dengan bersenjatakan parang di Taman Juara Jaya, Batu 9, Cheras di sini semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 6.37 petang apabila Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima panggilan kecemasan berkaitan kes pergaduhan sekumpulan lelaki di kawasan perumahan itu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, rakaman video yang tular memaparkan sekumpulan lelaki membawa senjata parang mencederakan sekumpulan lelaki lain.

“Siasatan polis mendapati terdapat tiga buah kereta yang ditinggalkan oleh suspek dan mangsa di tempat kejadian.

“Dua orang mangsa kini sedang dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil sementara punca kejadian masih lagi dalam siasatan pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zaid, tindakan pantas Jabaran Siasatan Jenayah IPD Kajang membolehkan polis menangkap empat suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.

Ujarnya, semua suspek akan direman hari ini di Mahkamah Kajang untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 dan Seksyen148 Kanun Keseksaan, tambahnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut, boleh berhubung  balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes, ASP Mohd Radzee Jamudi, di talian 019-6655811. – MalaysiaGazette