Seorang kanak-kanak dan bayi yag memerlukan pembedahan jantung di IJN selamat diterbangkan dari Kuching ke Subang hari ini.-foto Ihsan TUDM

KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakUkan penerbangan ihsan membawa seorang kanak-kanak lelaki dan bayi perempuan dari Kuching, Sarawak ke Pangkalan Udara Subang bagi membolehkan mereka menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.

Menurut kenyataan TUDM, Faaed Faizal, 2, mengalami masalah jantung ‘Severe Mitral Regurgitation On Non-Invasive Ventilation’, kata Bahagian Perhubungan Awam TUDM Markas Tentera Udara hari ini.

“Manakala seorang lagi adalah bayi perempuan, Dollyn Ting Xiang Ling berusia dua bulan mengalami masalah ‘Large Ventricular Septal Defect, Severe Coarctation Of Aorta’.

“Kedua-dua pesakit sebelum ini telah mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak,” katanya.

Penerbangan ihsan yang menggunakan pesawat angkut C130H dari No. 20 Skuadron, Pangkalan Udara Subang diterbangkan oleh Mejar Mohd Aliff Samsuddin dan dibantu oleh pembantu juruterbang, Kapten Muhammad Nursaidi Mohd Dzali.

Anak kapal lain turut terlibat adalah Jurutera Penerbangan, Mejar Mohd Helmee Mostapa; Jurumalim, Kapten Sazmil Nor Azman; tiga ‘Loadmaster’, Pegawai Waran II U Jonas Gama, Sarjan U Muhammad Zairizuan Zainuddin serta Sarjan U Mohd Hanif Hashin dan seorang pramugari, Flait Sarjan (W) Kiranjit Kaur Jagir Singh.

Pesawat tersebut berlepas dari Kuching pada jam 1.36 petang dan selamat mendarat di Subang pada jam 3.39 petang.

Turut mengiringi bayi dalam penerbangan ini adalah ibu kedua-dua pesakit berserta seorang pegawai perubatan iaitu Dr. Nurul Asyikin Rosli.

Kedua-dua pesakit terus dibawa menaiki ambulans sejurus tiba di Subang. – MalaysiaGazette