Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. foto: AFIQ RAZALI, 10 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Seramai enam individu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menerima Darjah Kebesaran Pangkat Pertama iaitu Seri Utama Mahkota Wilayah (S.U.M.W.), bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2021 hari ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz merupakan antara enam penerima darjah kebesaran tersebut selain Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Ali Mohd Rustam yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Turut menerima Darjah Kebesaran Pangkat Pertama adalah isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak iaitu Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib bersama-sama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Yang di-Pertua Negeri Pulau, Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, secara keseluruhannya Agong telah berkenan memberi Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021 kepada 335 penerima mengikut kategori tertentu pada kali ini.

“Pada tahun ini, seramai enam individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Pertama iaitu Seri Utama Mahkota Wilayah (S.U.M.W.), 24 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Kedua iaitu Seri Mahkota Wilayah (S.M.W.), 81 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga iaitu Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W.) yang membawa gelaran Datuk.

Seterusnya, 49 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Keempat iaitu Johan Mahkota Wilayah (J.M.W.), 76 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Kelima iaitu Kesatria Mahkota Wilayah (K.M.W.), 31 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Keenam iaitu Ahli Mahkota Wilayah (A.M.W.) dan 68 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Ketujuh iaitu Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (P.P.W.),” katanya pada sidang media mengenai Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021 yang diadakan menerusi Google Meet, hari ini.

Antara penerima Darjah Kebesaran Pangkat Kedua iaitu Seri Mahkota Wilayah (S.M.W.) yang membawa gelaran Datuk Seri adalah Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan.

Manakala Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pula antara penerima Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga iaitu Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W.).

Darjah kebesaran ini membawa gelaran Datuk.

Mengulas lanjut Annuar berkata, tarikh penyempurnaan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2021 sedang ditentukan kerana ia perlu mengambil kira situasi semasa penularan pandemik Covid-19.

Sekiranya telah tetapkan ujar beliau, semua penerima akan dimaklumkan.

“Walaupun Istiadat belum diadakan, selaras dengan peruntukan di bawah Statut Darjah Yang Mulia Mahkota Wilayah, Ahli-Ahli Darjah Kebesaran Pangkat Pertama, S.U.M.W., boleh pada setiap masa memiliki, menggunakan dan menikmati gelaran dan nama “Datuk Seri Utama’ sebelum nama mereka.

“Wanita, yang suami mereka telah dikurniai Pangkat Darjah Kebesaran ini boleh pada setiap masa memiliki, menggunakan dan menikmati gelaran dan nama “Datin Seri Utama” sebelum nama mereka,” katanya lagi.

Annuar mengucapkan tahniah kepada semua penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan tahun ini dan berharap agar khidmat dan jasa akan dapat diteruskan bukan hanya di Wilayah persekutuan malah negara. – MalaysiaGazette