Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah bercakap pada sidang media mengenai memohon rayuan operasi semula perniagaan pasar malam di Bandar Teknologi Kajang, Semenyih, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 15 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana Malaysia (IKHLAS) menggesa kerajaan meneruskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut negeri dan daerah yang mempunyai kes yang tinggi selepas 4 Februari ini.

Presidennya, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, ia bagi memastikan keselamatan rakyat dan ekonomi terjamin susulan kes jangkitan wabak Covid-19 dalam komuniti semakin serius dan membimbangkan.

“Mana-mana negeri yang kes harian melebihi 101 ke atas, perlu dilaksanakan PKP sepenuhnya dan tiada pergerakan keluar masuk atau rentas negeri.

“Bagi negeri kes harian di bawah 100, kerajaan perlu laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Jika daerah dalam negeri tersebut mempunyai lebih 51 kes, perlu diisytihar PKP ekonomi seperti mana yang dilaksanakan di seluruh negara ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP 2.0 melibatkan zon merah iaitu Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Johor, Sabah dan Melaka bermula 13 hingga 22 Januari ini.

Bagaimanapun Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKP 2.0 yang melibatkan tujuh negeri itu terpaksa dilanjutkan sehingga 4 Februari ini.

Menurut Mohd Ridzuan, pihaknya percaya dengan pelaksanaan cara ini, negeri-negeri yang mempunyai 100 kes dan ke bawah tidak akan menjejaskan ekonomi rakyat dan masih boleh bergerak dalam kawalan.

“Cadangan di atas hanya pandangan IKHLAS dalam membantu kerajaan menstabilkan semula kawalan Covid-19 di Malaysia serta memberi ruang semua pihak dalam situasi menang-menang kes ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast