Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. foto MOHD ADZLAN, 25 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memastikan kerja-kerja penyelenggaraan rumah berstrata kos rendah dan sederhana rendah serta membaik pulih rumah usang, rosak atau musnah akibat bencana alam dilakukan secepat mungkin walaupun Malaysia sedang berada di ambang pandemik covid-19.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, projek perumahan itu akan dilakukan secepat yang mungkin agar rakyat dapat manfaat dengan segera.

“Sebanyak RM500juta telah diperuntukkan bagi Program perumahan Rakyat (PPR) yang telah siap.

“Manakala, Rumah Mesra Rakyat (RMR) pula telah diperuntukkan sebanyak RM315juta bagi 3,000 unit dengan pembayaran kadar keuntungan bank yang sedia ada,” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun 2021 bagi kementerian itu pada sidang media secara maya hari ini.

Menurut Zuraida, bagi membolehkan isu berkaitan perumahan dapat diselesaikan dengan segera, dua akta dan satu garis panduan akan ditambah baik iaitu Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan Pelesenan Akta 118), dan Akta Sewaan Kediaman dan Garis Panduan Pembangunan Semula.

“Perkara ini amat penting kerana apabila kita melihat keadaan perumahan kos rendah yang telah berusia 30 tahun ke atas adalah dalam keadaan yang sangat daif di mana lifnya susah untuk kita perbaiki, bumbung bocor dan banyak kemudahan yang sudah rosak.

“Jika dibaiki, sudah tentu kita tidak mampu memberikan wang bagi membuat penambahbaikan kerana ianya tidak lagi ekonomikal.

“Maka, kami telah berusaha untuk menggubal satu garis panduan pembinaan semula dengan merobohkan semua flat-flat lama dan membina flat baharu untuk diberikan kepada mereka dengan menggunakan dasar rumah mampu milik yang baharu.

“Rumah yang dibina hendaklah besar 900 kaki persegi daripada rumah yang sedia ada,” katanya. -MalaysiaGazette