Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail. foto ISKANDAR HAMIDI 28 SEPTEMBER 2020.

GOMBAK – Seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kejadian pecah kereta yang telah tular di media sosial.

Ketua Polis Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di lot parkir deretan kedai yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur.

“Hasil siasatan lanjut, polis telah menerima satu laporan daripada seorang wanita Melayu berusia 34 tahun yang merupakan pemilik kenderaan tersebut.

“Pemilik mendakwa kereta miliknya telah rosak akibat perbuatan khianat serta set radio kenderaannya turut hilang.

“Mangsa dengan bantuan keluarganya telah berjaya mencari suspek, namun berlaku sedikit pergelutan sebelum diserahkan kepada kami untuk siasatan lanjut,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rajab, suspek merupakan seorang penganggur dan mempunyai dua rekod lampau penyalahgunaan dadah.

“Suspek telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dirawat.

“Bagaimanapun, motif kejadian masih dalam siasatan dan suspek akan direman pada pagi ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Orang ramai diseru supaya tidak membuat sebarang tindakan yang menyalahi undang undang dan mereka yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu menghunbungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette