Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendengar keputusan akhir atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Nasib bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dalam sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta akan diketahui sebentar lagi.

Kes itu membabitkan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak yang dilakukan antara 21 Julai 2014 dan  11 Disember 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijangka membuat keputusan pada jam 10 pagi ini.

Isa Samad yang diiringi beberapa ahli keluarganya tiba di mahkamah pada jam 8.45 pagi dalam keadaan tenang serta sempat melemparkan senyuman dan melambai kepada petugas media.

Mohd Isa, 71, didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3.09 juta daripada Ikhwan Zaidel iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin hadir ke mahkamah atas pertuduhan rasuah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 FEBRUARI 2021.

Dalam pada itu, perbicaraan berprofil tinggi membabitkan seorang ahli politik, Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abd Samad berlangsung di Mahkamah Jalan Duta hari ini.

Beliau berdepan dengan pertuduhan rasuah dan bersubahat rasuah berhubung pelaburan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (Felcra) berjumlah RM2.8 juta.

Sementara itu, pihak pengurusan mahkamah telah mengambil langkah lebih tegas dalam menghadkan orang ramai termasuk media yang membuat liputan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hanya 20 petugas dibenarkan membuat liputan kes Mohd Isa dalam mahkamah melalui pautan video di bilik lain. -MalaysiaGazette