Tommy
Tommy Thomas bersalaman dengan Dr Mahathir Mohamad ketika beliau memegang jawatan Peguam Negara dalam kerajaan PH.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSAO) membantah keras pendedahan bekas Peguam Negara dalam bukunya, My Story: Justice In The Wilderness.

Dalam kenyataan kepada media hari ini, Jawatankuasa Eksekutif persatuan itu menyifatkan Tan Sri Tommy Thomas telah menjatuhkan kehormatan dan nama baik jawatan yang pernah disandangnya sebelum ini.

Kata kenyataan itu, kandungan buku berkenaan menceritakan kisah hidup dan perjalanan kerjayanya sebagai Peguam Negara selama 21 bulan yang disebut olehnya sebagai “Ketua Penasihat Undang-Undang Perdana Menteri dan pentadbirannya”.

“Sebagai Peguam Negara, beliau juga adalah Ketua Perkhidmatan kepada Pegawai Undang-Undang dalam Skim Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

“Tetapi, kenyataannya (penulisan) itu menunjukkan beliau telah salah arah dan salah tanggapan mengenai peranan Pegawai Undang-Undang dalam skim perkhidmatan ini.

“Memang tidak patut Tommy menggelar Pegawai Undang-Undang di Jabatan Peguam Negara sebagai peguam kerajaan yang hanya menunggu gaji bulanan dan menantikan pencen selepas persaraan serta menjalankan kerja pentadbiran,” kata kenyataan itu.

JALSAO juga menegaskan bahawa kenyataan itu bersifat jahat dan cubaan menghina Pegawai Undang-Undang keseluruhannya.

Pihaknya terkilan dan terjejas dengan kenyataan itu kerana Pegawai Undang-Undang sama ada yang ditempatkan di Jabatan Peguam Negara mahupun di mahkamah sentiasa menjalankan amanah dipertanggungjawabkan kepada mereka menurut peruntukan undang-undang tanpa mengira siapakah Peguam Negara atau kerajaan yang memerintah.

Katanya, cabaran, dugaan dan tekanan dalam tugasan seorang Pegawai Undang-Undang memberi implikasi bukan kepada mana-mana individu dan pelanggan, tetapi memberi kesan kepada negara dan kepentingan awam dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

“Kami tidak bekerja untuk mengejar populariti individu, malahan dasar kerahsiaan, integriti dan profesionalisme yang ditekankan di dalam perkhidmatan awam sentiasa melatari setiap tindakan dan tatakerja Pegawai Undang-Undang.

“Tommy tidak wajar mempertikaikan kemampuan, keupayaan dan keboIehan Pegawai Undang-Undang di bawah seliaan beliau dalam tempoh yang singkat, apatah lagi menyebut dengan jelas nama Pegawai Undang-Undang dalam bukunya dengan cemuhan,” katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, Pegawai Undang-Undang yang mempunyai kelayakan dan kelulusan akademik setaraf dengan peguam swasta hadir mewakili kerajaan serta berjuang dalam pertikaian pihak-pihak di mahkamah termasuk pertikaian dan rundingan antarabangsa demi kepentingan negara.

Pandangan Tommy itu amat tidak bertamadun dan mencerminkan kedangkalan pemikirannya.

“Ini kerana, apa-apa juga perasaan tidak puas hati beliau semasa berurusan dengan Pegawai Undang-Undang tidak wajar dan tidak patut dicoretkan untuk tatapan umum.

“Persepsi itu adalah ciptaan Tommy sendiri atas kegagalannya menerajui Jabatan Peguam Negara serta memahami pentadbiran perkhidmatan awam,” katanya.

Sehubungan itu, JALSOA berpendirian Tommy sewajarnya menjaga kehormatan dan nama baik Peguam Negara yang pernah disandang beliau serta institusi perkhidmatan perundangan dalam perkhidmatan awam sebagaimana diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.