Kawasan taman dalam fasa rekuperasi atau kerehatan daripada gangguan pelancong dan pelawat taman.

KUALA LUMPUR – Beberapa pulau di Semporna, Sabah yang dimasuki penceramah bebas, Ustaz Ebit Lew kelmarin untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk Bajau Laut adalah kawasan Taman-Taman Sabah yang ditutup sementara kepada orang awam.

Menurut kenyataan dari pihak pengurusan Taman-Taman Sabah hari ini, kawasan itu adalah Taman Marin Tun Sakaran, Semporna yang ditutup bermula 13 Januari lalu selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berikutan itu, kata kenyataan berkenaan, rombongan Ebit Lew adalah orang awam yang tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) PKP dan pada masa sama, pihak Taman-Taman Sabah tidak menerima makluman awal untuk kebenaran khas memasuki kawasan Taman Marin Tun Sakaran.

“Susulan aduan dan kenyataan yang dimuatnaik dalam media sosial bernama Ebit Lew pada 2 Februari 2021, pihak Taman-Taman Sabah mendapati kawasan pulau-pulau di Semporna yang dimaksudkan oleh beliau adalah kawasan Taman Marin Tun Sakaran, Semporna.

“Sebagaimana dimaklumkan di media sosial rasmi Taman-Taman Sabah, pada 12 Januari 2021, seluruh kawasan Taman-Taman Sabah ditutup sementara kepada orang awam bermula 13 Januari 2021.

“Ini selaras dengan arahan PKP dan rombongan Ustaz Ebit Lew merupakan rombongan orang awam yang tertakluk kepada SOP PKP.

“Tambahan pula kami tidak menerima sebarang makluman awal daripada pihak berkenaan untuk kebenaran khas memasuki kawasan Taman Marin Tun Sakaran, Semporna,” kata kenyataan itu menerusi Facebook Taman-Taman Sabah, hari ini.

Sebarang pembinaan struktur bangunan dalam kawasan Taman Marin Tun Sakaran juga tertakluk kepada prosedur dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Semalam, Ebit Lew menerusi laman Facebooknya meminta maaf kepada penduduk di pulau-pulau Semporna di Sabah kerana tidak lagi dapat meneruskan misi bantuan.

Dengan nada sayu dan sedih, beliau berkata, niatnya untuk membina sekolah di perkampungan penduduk Bajau Laut yang diIslamkannya sehari sebelum itu juga tidak dapat diteruskan.

Ini kerana, beliau dimaklumkan, tidak dibenarkan untuk ke pulau berkenaan dan diminta supaya memberhentikan bantuan di sekitar perkampungan itu.

Mengulas lanjut, Taman-Taman Sabah menjelaskan, pembinaan struktur bangunan dalam kawasan Taman Marin Tun Sakaran juga tertakluk kepada prosedur dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Perkara itu berkaitan dengan kepentingan komuniti penuntut hak waris di pulau-pulau berkenaan seperti terkandung dalam Surat Pewartaan Taman Marin Tun Sakaran tahun 2004.

“Pihak Taman-Taman Sabah membenarkan rombongan Ustaz Ebit Lew memasuki kawasan Taman Marin Tun Sakaran hanya setelah mendapat makluman daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kami sangat menyokong usaha murni bantuan prihatin yang disalurkan kepada komuniti dalam semua taman di seluruh Sabah.

“Kebenaran khas diperlukan untuk memasuki mana-mana kawasan taman yang kini ditutup kepada orang awam sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Kenyataan itu juga berkata, pengurusan Taman-Taman Sabah amat menghargai pendirian dan ketegasan pegawai dan Renjer Taman di Taman Marin Tun Sakaran yang berdedikasi dalam melaksanakan tugas melindungi kawasan berkenaan yang kini dalam fasa rekuperasi atau kerehatan daripada gangguan pelancong dan pelawat taman.

Perlindungan dan pemuliharaan alam semulajadi taman di seluruh Taman-Taman Sabah akan tetap diteruskan termasuk semasa tempoh PKP pandemik Covid-19 dan tempoh perintah berkurung di seluruh negara. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.