Datuk Seri Amiruddin Shari

KUALA LUMPUR – Selangor akan memperbanyakkan ujian Covid-19 dengan melakukan 50,000 ujian calitan (swab test) kepada pekerja kilang.

Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari berkata, ini kerana kawasan perkilangan merupakan tempat baharu yang berkemungkinan besar menyebarkan jangkitan  Covid-19.

“Malangnya kita tidak bersedia di situ dengan kuasa yang terhad di pihak pentadbiran kerajaan negeri, kita tidak dapat menyediakan dan menekan kilang-kilang.

“Hal ini kerana mereka di bawah Kementerian Sumber Manusia ataupun kementerian yang menjaga urus bahagian hal ehwal pentadbiran dan pekerja dalam negara kita.

“Sebenarnya, kita sudah terlambat kerana jika dilihat pengalaman di Singapura ketika negaranya dilanda pandemik arus kedua yang merupakan punca daripada kawasan perkilangan,” katanya pada  sidang media ‘Bicara Covid-19 & Kesiapsiagaan Negeri’ bersama Presiden PKR, Datuk SeriAnwar Ibrahim di laman facebook.

Menurut Amiruddin, berikutan itu ujian calitan akan dilakukan dengan tumpuan hanya pada kawasan perkilangan yang akan diatur oleh ‘Selangor Task Force’.

Tambah beliau, pihaknya akan memastikan semua pekerja kilang dapat disaring walaupun terdapat had dalam bidang kuasa kerajaan negeri. -MalaysiaGazette