Gigi perlu digosok dua kali sehari. Gambar hiasan.

MUTAKHIR ini kita sering mendengar ada segolongan masyarakat yang dimomokkan tentang teori konspirasi berkaitan dengan unsur fluorida. Ada juga yang menyatak an bahawa fluorida berasal daripada sumber yang haram. Malah ada juga yang berkempen supaya flourida tidak perlu ada dalam ubat gigi disebabkan oleh fluorida akan mendatangkan kemudaratan di
dalam badan manusia. Walaubagaimanapun, sebagai orang Islam yang berilmu dan beriman, kita sepatutnya menyelidik dan bertanya kepada yang pakar supaya kita tidak salah mentafsir
sesuatu perkara itu atau khabar berita yang berlegar dikalangan masyarakat awam.

Kita sering kali mendengar tentang penggunaan  fluorida di dalam ubat gigi dapat membantu mengurangkan risiko kaviti gigi atau juga dikenali sebagai karies gigi. Fluorida digunakan di dalam bidang pergigian bagi tujuan untuk menguatkan gigi dan salah satu langkah bagi pencegahan daripada karies. Di Malaysia, malah di kebanyakan negara seluruh dunia, fluorida dimasukkan di dalam sistem bekalan dalam program water fluoridation untuk
membantu membasmi karies daripada berlaku pada struktur gigi.

Unsur fluorida merupakan salah satu bahan mineral semulajadi yang terdapat di dalam tulang, gigi manusia dan ianya
juga terdapat secara semulajadi di dalam air, tanah, tumbuh tumbuhan dan batu. Fluorida ditambah di dalam ubat gigi dan ubat kumuh dengan kadar yang telah ditetapkan oleh World Health Organisation (WHO) bagi membantu membasmi kaviti dengan pemineralan semula pada struktur enamel gigi.

Walau bagaimanapun pengambilan fluorida perlu diambil dengan kadar yang disarankan oleh pakar pergigian dan ini bergantung kepada jenis keperluan dan umur pengguna, iaitu dengan jumlah limit 600 sehingga 1500 ppm bagi ubat gigi dan 0.5ppm bagi air minuman untuk mengelakkan fluorosis gigi atau gigi bercapuk (WHO, 1994). Program pemfluoridaan air telah dilaksanakan di Malaysia bermula dari tahun 1972 sehingga ke hari ini. Ianya melibatkan kerjasama dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak pembekal air dengan pengawasan ketat di mana sampel air diambil pada setiap masa untuk memastikan kandungan bahan kimia di dalam air berada di paras selamat demi keselamatan pengguna.

Tujuan utama program ini adalah untuk memastikan kanak-kanak di negara ini membesar tanpa gigi berlubang atau kaviti gigi. Ini penting bagi memastikan kedudukan sosioekonomi rakyat tidak menjadi halangan untuk setiap individu memperolehi
manfaat kesihatan gigi. Pemfloridaan air telah menampakkan impak yang positif berdasarkan data yang diperolehi daripada hasil kajian penyelidik tempatan yang menunjukkan pengurangan kes kaviti gigi yang signifikan di negeri yang terlibat di dalam program ini (Mohd Nor et al 2018).

Berdasarkan kajian, penurunan karies gigi kesan dari pemfloridaan air memberi impak yang positif dalam kesihatan pergigian dan ia dapat menjimatkan kos perkhidmatan pergigian
(Griffin et al, 2001). Di Amerika Syarikat juga kajian telah dijalankan selama 30 tahun dan menunjukkan penurunan kadar karies sebanyak 68% selepas unsur flourida dimasukkan
dalam sistem air.

Di dalam Islam kita mengetahui bahawa Nabi Muhammad SAW juga gemar memberus gigi dan ianya telah menjadi amalan baginda untuk sentiasa memberus gigi setiap kali sebelum solat dan membaca al Quran dengan menggunakan berus gigi yang dikenali sebagai kayu siwak. Bersiwak atau memberus gigi bukan sahaja dapat membersihkan mulut, malah mendapat keredhaan Allah. Seperti sabda Nabi Muhammad SAW, Siwak dapat
membersihkan mulut dan diredhai Allah.

Saidatina Aisyah RA juga meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, Sesunguhnya Nabi Muhammad SAW jika memasuki rumah, baginda memulakannya dengan bersiwak.
Antara bahan kimia yang terdapat dalam siwak adalah trimethylamine, klorida, florida, silika, vitamin C, tannin, saponin, flavonoid, sterol, natrium klorida, kalium klorida, kalsium dan fosforus (El-Mostehy et al.1983; Dorner, 1981, Char et al. 1987).

Kandungan kimia ini bertindak secara sinergistik dan berperanan sebagai antibakteria, antiplak dan antifungal. Tidak dapat dinafikan bahawa di dalam siwak juga terdapat unsur fluorida yang dapat mencegah karies daripada berlaku. Bagi kanak-kanak yang masih di dalam fasa pembentukan gigi, unsur flourida akan diserap ke dalam struktur gigi ketika pembentukan lapisan luar gigi yang dikenali sebagai enamel. Proses ini dapat membantu gigi tersebut bertahan daripada serangan asid yang terhasil daripada bakteria apabila gigi tersebut tumbuh kelak.

Sesetengah bahan tampalan pergigian juga mampu menyimpan ion-ion florida dan berfungsi sebagai pusat takungan ion flourida yang akan dilepaskan ketika sumber flourida berada di tahap yang rendah di dalam mulut bagi membantu mencegah kaviti gigi. Kanak-kanak yang berumur 6 tahun ke bawah hendaklah di bantu semasa memberus gigi dan penggunaan ubat gigi berfluorida mestilah di kawal oleh ibu bapa atau penjaga.

Pengambilan fluorida berlebihan oleh kanak-kanak sering kali terjadi bila mereka menelan ubat gigi berfluorida semasa memberus gigi. Sesetengah kanak-kanak suka dengan rasa ubat gigi yang berperisa. Ini menyebabkan mereka menelan ubat gigi tersebut. Kanak kanak hendaklah menggunakan ubat gigi dengan kuantiti yang sedikit 0.25 g ke 0.5 g atau sebesar kacang soya. Anak anak perlu diajar untuk tidak menelan ubat gigi sebaliknya meludah sebaik sahaja selepas memberus gigi.

Manakala bagi kanak-kanak di bawah umur 2 tahun, ubat gigi mungkin tidak perlu digunakan kerana dikuatiri mereka menelan ubat gigi secara berlebihan. Gigi adalah struktur yang penting dalam kehidupan seharian bukan sahaja untuk memecahkan makanan untuk mendapatkan sumber nutrien, ianya juga penting untuk kelancaran pertuturan dan juga memberi keyakinan diri. Pakar pergigian menyarankan agar individu mengamalkan pemakanan sihat, berjumpa doktor gigi setiap 6-12 bulan, melakukan pemberusan gigi menggunakan teknik yang betul sekurang-kurangnya sekali sehari dan juga penggunaan ubat gigi berfluorida dengan dos yang tepat untuk membantu kita mengekalkan gigi yang sihat sehingga ke akhir hayat. Semoga tahap kesihatan gigi di Malaysia mencapai peningkatan yang tinggi setanding dengan teknologi yang pesat di masa kini.

Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi
Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia.

Dr Hazira M Yusof
Pensyarah Pergigian
Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia