Pfizer-BioNTech Covid-19 vaccine Muhyiddin Yassin National Covid-19 Immunisation Programme
Muhyiddin Yassin PIX: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi amaran tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang melanggar peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid19 yang sedang berkuat kuasa.

Perdana Menteri berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu Pasukan Petugas Khas Pemantauan dan Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dianggotai oleh pelbagai agensi dan Kementerian telah ditubuhkan untuk memantau pematuhan SOP.

Jelasnya, bagi pemantauan di premis kilang dan bukan kilang di negara ini, sehingga semalam, Pasukan Petugas Khas dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah membuat lawatan di 2,276 premis di seluruh negara.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 197 premis telah diberikan teguran dan 34 diarah tutup kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Pihak PDRM juga telah mengenakan kompaun ke atas 82,141 individu dan membuat 31,740 tangkapan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas mengenai penjelasan terkini mengenai pelaksanaan Proklamasi Darurat dan Pemasyhuran Ordinan Daruart dalam menguruskan pandemik Covid-19 yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen dan media sosial di sini hari ini.

Muhyiddin menambah, dalam situasi pandemik pada masa ini, kerajaan perlu mencari satu keadah yang berimbang, iaitu memastikan kehidupan ekonomi rakyat terus terjamin dan nyawa rakyat terus dilindungi.

Jelas beliau, kaedah yang terbaik pada masa ini ialah membenarkan sektor-sektor ekonomi perlu atau essential economic sectors untuk terus beroperasi dan pada
masa yang sama melaksanakan SOP yang ketat untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang sudah pun berada di tempat kerja, di kawasan kediaman dan di dalam komuniti.

“Saya tahu bahawa ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai. Bagaimana kita hendak memastikan saudara dan saudari yang keluar bekerja atau keluar untuk membeli barangan keperluan harian tidak terkena jangkitan Covid-19.

“Pastinya ini memerlukan kerjasama semua pihak. Majikan misalnya, telah ada arahan supaya hanya 30 peratus pekerja dalam kategori pengurusan yang boleh hadir ke pejabat atau premis perniagaan, manakala yang lainnya mesti bekerja dari rumah atau work from home.

“Apabila arahan ini dipatuhi, sekurang-kurangnya 70 peratus daripada pekerja dalam kategori ini tidak berada di pejabat atau di premis-premis  perniagaan. Mereka dikehendaki stay at home,” katanya.

Muhyiddin memberitahu, ini bermakna walaupun Kerajaan tidak melaksanakan lock down (perintah berkurung), pergerakan orang ramai dalam pengangkutan awam, di jalan raya dan di premis-premis pejabat dan perniagaan dapat dikurangkan dan pada masa yang sama ekonomi dan industri dapat terus beroperasi.

Menurutnya, begitu juga jika ada dalam kalangan pekerja yang didapati positif Covid-19, mereka ini mesti segera diasingkan dan dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mendapat rawatan atau menjalani kuarantin di tempat tinggal.

Kata belia, pengesanan kontak rapat dalam kalangan pekerja juga mesti dilakukan segera dan mereka ini perlu menjalani ujian saringan Covid-19 dan dikuarantin di rumah atau di tempat penginapan pekerja.

“Majikan jangan paksa pekerja yang sedang menjalani kuarantin untuk datang bekerja kerana ini akan membahayakan semua orang. Jangkitan kepada orang lain boleh berlaku sekiranya mereka juga didapati positif Covid-19. Pokoknya, kita mesti jaga kita. Apabila kita jaga sesama kita, kita jaga semua orang.

“Saya memberi penekanan kepada aspek pematuhan SOP di kilang-kilang, di tapak-tapak pembinaan, di tempat penginapan pekerja dan di tempat kerja. Ini kerana jangkitan Covid-19 dalam gelombang ketiga ini banyak berlaku di tempat-tempat ini.

“Data terkini menunjukkan 59 peratus jangkitan Covid-19 berlaku di tempat kerja, 19 peratus di pusat tahanan, 14 peratus di kediaman, lima peratus di rumah ibadat atau aktiviti keagamaan dan masing-masing dua peraus kes import dan kumpulan berisiko,” katanya. – MalaysiaGazette