Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Pendedahan Tan Sri Tommy Thomas bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar di Malaya dan Hakim Besar di Sabah dan Sarawak atas cadangannya telah mendedahkan hakim-hakim kepada spekulasi berat sebelah atas segala kes melibatkan pendakwa raya.

Malah, pelantikan hakim-hakim atasan seolah-olah telah mengenepikan peranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi.

Menurutnya, memandangkan banyak laporan polis dibuat terhadap Tommy maka wajarlah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan.

”Suruhanjaya Diraja penting demi memelihara imej keadilan dan perundangan yang jelas tercemar berdasarkan pendedahan Tommy Thomas itu,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menegaskan beliau tidak terpengaruh dengan kandungan buku tulisan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas yang jelas menunjukkan pemikirannya yang dangkal dan tidak memahami fungsi jawatan itu serta menyifatkan ia sebagai suatu penghinaan ketara kepada institusi perundangan.

Beliau berkata, penerbitan buku itu telah menimbulkan pelbagai reaksi yang antaranya menyentuh dan mempersoal kebolehcayaan dan kekompetenan pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara (AGC).

Katanya, kandungan buku berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’ memberi impak negatif khususnya daripada kaca mata orang luar dan ia secara langsung telah memberi kesan kepada moral dan semangat pegawai di jabatan itu.

Mohd Puad berkata, dangkal mengikut kamus Dewan ialah cetek atau pengetahuan tidak mendalam.

”Sebiji Tommy Thomas kena. Memang Tun M salah pilih orang. Tommy syok sendiri dan show off. Kalau ikut memoir tersebut perlantikan “Hakim Hakim Atasan” telah mengenepikan peranan Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (JAC).

”Pengakuan tersebut mendedahkan hakim-hakim kepada spekulasi bahawa mereka mungkin berat sebelah dalam segala kes yang melibatkan pendakwa raya,” katanya.

Menurut beliau, hari ini lagi banyak laporan polis dibuat termasuk oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali dan bekas Peguam Cara III, Mohamad Hanafiah Zakaria. – MalaysiaGazette