Penasihat Dewan Perniagaan Muslim Sabah (DPMS) merayu kepada kerajaan negeri untuk membenarkan pelanggan restoran makan di kedai.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Penasihat Dewan Perniagaan Muslim Sabah (DPMS) merayu kepada kerajaan negeri untuk membenarkan pelanggan restoran makan di kedai.

Rayuan itu dibuat oleh peniaga restoran, kedai makan, kedai kopi, warung warung kecil ekoran penurunan kes berterusan di Sabah.

Presidennya, Mohd Ansar Maidin berkata, para peniaga memahami hasrat kerajaan untuk mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang pandemik Covid-19.

Namun, kerajaan juga harus sedar bahawa perniagaan restoran kini berada pada tahap 10 peratus dan tidak mampu untuk membayar kos kos operasi.

Akibatnya ramai peniaga mula tertekan dengan keadaan tersebut.

”Kita tidak pernah merekodkan sebarang kluster berkaitan kedai makan. Malah kadar jangkitan dalam kalangan pekerja, pemilik atau mereka yang berurusan di eestoran sama ada pelanggan atau pembekal juga kurang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Walaupun perniagaan dibuka untuk bungkus atau bawa balik, dengan perniagaan yang tinggal pada kadar 10 peratus itu, peniaga hanya mampu untuk membeli bahan mentah harian.

Selebihnya seperti bayaran gaji, bayaran sewa premis dan hostel pekerja, bayaran bil utiliti dan lain lain bayaran semuanya sudah tertunggak banyak dan peniaga sedang menampung bebanan yang amat tinggi.

”Kami telah bersabar lebih tiga minggu lalu bagi membantu kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19 melalui PKP, namun, dengan keadaan ekonomi semasa dan beban kos yang terlalu tinggi, kami memohon jasa baik pihak kerajaan negeri untuk membenarkan restoran dibuka untuk makan di kedai,” ujarnya lagi.

Tambahnya, dalam keadaan getir ini, peniaga masih terpaksa bayar sewa kedai, bayaran sewa ruang letak meja dan kerusi daripada PBT, bayaran lesen pengiklanan, bayaran lesen restoran dan kos-kos lain tetap berjalan seperti biasa sejak PKP yang pertama lagi.

Lebih menyedihkan apabila peniaga restoran juga tidak mendapat sebarang bantuan secara langsung yang boleh mengurangkan beban dalam keadaan ekonomi buat masa ini.

Malah, banyak peniaga tidak berjaya mendapatkan sebarang moratorium untuk pinjaman peribadi dan perniagaan.

”Kami mencadangkan buat permulaan kerajaan hanya perlu membenarkan satu meja dua orang dengan jarak 1 hingga 2 meter antara pelanggan.

”Kami berjanji kami akan mengikut SOP seperti ditetapkan dan bersedia dikenakan tindakan jika didapati ada peniaga yang melanggar SOP tersebut,” tambahnya.

Mohd Ansar berkata, waktu perniagaan restoran secara makan dikedai biasanya dikunjungi oleh pelanggan pada sebelah malam, oleh itu pertimbangkan masa operasi restoran dipanjangkan ke 12 malam.

Dengan lanjutan masa ini memberi kemudahan kepada pekerja sektor lain yang tamat kerja jam 10 malam untuk singgah di restoran.

”Kita berharap Kerajaan Negeri Sabah bersedia untuk membenarkan peniaga sektor makanan beroperasi dengan makan di kedai. Kami memberi jaminan kepada kerajaan bahawa peniaga restoran akan mengikut segala SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Kesihatan Malaysia,” ujar beliau. – MalaysiaGazette