Sebuah bot nelayan yang terbakar di perairan Sunga Besar hingga mengakibatkan seorang nelayan melecur. foto Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR – Perenang Penyelamat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan seorang nelayan warga Myanmar yang melecur teruk selepas bot nelayan yang dinaiki terbakar pagi tadi.

Ketika kejadian, bot nelayan tempatan Kelas C itu berada pada kedudukan 16.6 batu nautika barat daya Sungai Besar.

Kejadian itu berlaku kira-kira 10.20 pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli bin Kassim berkata, pihaknya telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima panggilan MERS999 berkenaan bot nelayan tempatan terbakar pada jam 9.55 pagi.

Menurutnya, sejurus menerima maklumat, aset maritim pesawat udara AW139 yang sedang melakukan pemantauan udara segera ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan.

Hasil pemeriksaan, seorang daripada empat nelayan tersebut melecur tahap kritikal dan perenang penyelamat Maritim Malaysia bertindak melakukan winching bagi menyelamatkan mangsa yang melecur tahap kritikal.

Bagaimanapun, tiga lagi individu termasuk seorang warga tempatan merupakan tekong berjaya diselamatkan.

Mangsa kemudian diterbangkan ke Hospital Sabak Bernam bagi pada jam 11 pagi dan diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut. – MalaysiaGazette