Lelaki warga emas duduk di dalam premis surau selepas ditinggalkan oleh ahli keluarganya. foto Lembaga Zakat Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas tidak menyangka akan ditinggalkan di sebuah surau oleh ahli keluarganya selepas memujuknya untuk bersolat jemaah.

Rupa-rupanya pujukan itu bertujuan untuk meninggalkannya di surau tersebut.

Malah, pakaiannya juga diletakkan di dalam beg untuk bekalan lelaki itu.

Kisah warga emas ini dikongsikan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi Facebook.

Rufaidah Home Care Services kini menjadi tempat tinggal warga emas tersebut.

”Sejurus mendapat maklumat mengenai seorang warga emas tidur di salah sebuah surau di sini, kami bergegas untuk membantu beliau memandangkan Selangor adalah negeri tertinggi kes Covid-19 buat masa ini.

”Tentunya bahaya sekiranya golongan berisiko tinggi tidur di tempat-tempat awam. Pilu hati kami ketika beliau berkongsi cerita bagaimana beliau telah ditinggalkan di sebuah surau,” kata LZS.

Lelaki berkenaan tidak mempunyai zuriat kerana belum berumahtangga dan sebelum ini dijaga oleh anak saudaranya.

Namun katanya, sejak kesihatannya yang semakin merosot, ditambah pula dengan suasana yang tidak menentu kerana Perintah Kawalan Pergerakan.

LZS berkata, ketika pihaknya sampai ke surau itu, lelaki berkenaan mengadu kakinya sakit akibat jangkitan kuman, perutnya lapar dan berada dalam keletihan.

”Alhamdulillah, setelah berunding, beliau bersetuju ditempatkan di sebuah rumah kebajikan Rufaidah Home Care Services di Dengkil. Zakat Selangor akan menanggung kos penjagaan dan juga kos rawatan beliau,” kata LZS. – MalaysiaGazette