Gambar hiasan

ISU pendidikan mutakhir ini berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) masih hangat diperkatakan khususnya masalah ketiadaan gajet dan akses Internet untuk
belajar dalam talian bagi golongan pelajar daripada keluarga yang kurang mampu.Memang disedari isu ini tidak mampu ditangani oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) semata-mata walaupun kerajaan mempunyai inisiatif sumbangan komputer riba yang prosesnya mungkin memakan masa.

Pelbagai pihak perlu bersama-sama meringankan beban keluarga yang tidak mampu atau menerima risiko keciciran pembelajaran yang besar dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah. Keprihatinan dan usaha-usaha sesetengah wakil rakyat antaranya Dr Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta NGO-NGO kebajikan seperti Pertubuhan Kasih
Umat Malaysia yang dipelopori Ustaz Ebit Lew, Yayasan IKRAM Malaysia dan lain-lain mengagihkan bantuan telefon bimbit, komputer riba atau tablet wajar dipuji.

Walaupun usaha ini masih sedikit dan belum mencukupi, namun ia begitu signifikan dan bermakna buat pelajar-pelajar yang memerlukan. Dengan kos peranti belajar sebanyak  RM400 hingga RM500, ia sudah cukup untuk mereka meneruskan pembelajaran dalam talian. Dengan kekalutan sepanjang PdPR ini, saya belum melihat usaha bersepadu pelbagai pihak untuk menyelesaikan isu yang sangat kritikal ini. Oleh itu, harapan saya agar semua wakil rakyat, sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen terutamanya perlu melakukan sesuatu untuk membantu mereka.

Saya yakin jika semua 576 ADUN di seluruh negara berusaha mengumpul sumbangan untuk membeli 100 peranti untuk 100 buah keluarga memerlukan di kawasan mereka, bermakna ia sudah menyelesaikan masalah sekurang-kurangnya 57,600 orang pelajar yang tercicir. Begitu juga jika semua 222 Ahli Parlimen di seluruh negara berusaha mengumpul sumbangan untuk membeli 200 peranti untuk 200 buah keluarga memerlukan di kawasan
mereka, bermakna ia sudah menyelesaikan masalah sekurang-kurangnya 44,400 orang pelajar yang tercicir.

Jika semua wakil rakyat termasuk ADUN dan Ahli parlimen melakukannya, bermakna sejumlah 102,000 buah keluarga yang dapat dibantu dengan peranti pembelajaran. Jumlah ini sangat signifikan dan mampu menyelesaikan banyak masalah pembelajaran sebahagian besar pelajar yang kurang mampu dan mengelakkan mereka daripada tercicir. Itu hanyalah ‘jika’, namun ia tidak mustahil sekiranya semua wakil rakyat mempunyai matlamat yang sama untuk menyelesaikan masalah rakyat berkaitan pendidikan yang sangat kritikal buat masa ini.

Apalah gunanya nama ‘wakil rakyat’ jika tiada usaha untuk menyelesaikan permasalahan rakyat. Ketika ini, golongan politikus mesti mengetepikan percakaran sesama sendiri dan
menumpukan perhatian kepada meringankan beban rakyat yang sedang kesusahan. Oleh yang demikian, politikus terutamanya wakil rakyat tidak sewajarnya menikus dalam isu PdPR ini dan ia mesti berusaha menyelesaikannya dengan kemampuan yang ada.
Membantulah sepanjang masa, janganlah bermusim.

Ada sesetengah wakil rakyat, masa rakyat susah, ‘batang hidung’ pun tidak nampak. Masa dekat pilihan raya, barulah nampak batang tubuh mereka meredah kawasan di sini sana, ke
hulu ke hilir berkempen mengharapkan rakyat mengundinya. Bila sudah menang, ‘hilang’ semula, kemudian lima tahun lagi baru boleh jumpa semula. Rakyat sudah muak dengan
sikap sebegini.

Wahai politikus, jangan menikus. Rakyat perlukan keprihatinan dan usaha anda menyelesaikan masalah dan meringankan beban mereka dengan tulus. Jika ini tidak berlaku, pilihan raya nanti rakyat akan hukum dan anda boleh ‘bungkus’.

Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti
Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia