Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 950 lagi individu ditahan semalam, kerana melakukan pelbagai kesalahan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, seramai 838 individu dikenakan kompaun, manakala 93 direman dan 19 lagi dijamin.

“Kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal sebanyak 217 kes, rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (209 kes), tidak memakai pelitup muka (180 kes), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (117 kes).

“Kesalahan lain ialah premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran sebanyak 41 kes, aktiviti pusat hiburan (39 kes), keluar rumah tanpa alasan munasabah (30 kes), membawa penumpang berlebihan (19 kes), ingkar perintah kuarantin (15 kes) dan lain-lain (83 kes),” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mengenai kawalan sempadan negara, beliau berkata, Operasi Benteng semalam telah menangkap 24 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas dua kenderaan darat serta dua kapal atau bot.

Dalam operasi itu juga, katanya, pihak berkuasa turut mengesan 121 bot atau kapal di perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan.

Beliau turut menyatakan, Operasi Benteng melibatkan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi keselamatan lain turut menjalankan 540 sekatan jalan raya.

Berhubung barang keperluan asas sepanjang PKP 2.0 dan darurat ini, kata Ismail Sabri, pemantauan serta pemeriksaan oleh anggota Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan berada dalam keadaan stabil dan mencukupi.

Semalam, katanya, KPDNHEP telah membuat sebanyak 704 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan melibatkan 525 peruncit, 147 pemborong dan 32 pengilang.

KPDNHEP juga telah melakukan sebanyak 2,639 pemeriksaan khas pematuhan SOP dan daripada jumlah itu, 2,624 premis mematuhi SOP, empat diberi amaran, manakala 11 lagi premis dikompaun. – MalaysiaGazette