Armand Azha Abu Hanifah

KUALA LUMPUR – Semua pihak dalam UMNO perlu meletakkan keutamaan parti jauh ke hadapan bukan memikirkan kepentingan diri.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, mereka harus memikirkan bagaimana untuk sama-sama mengerakkan diri ke arah menyambung perdamaian, penyatuan, pengukuhan dan perpaduan dalam parti.

Ujar beliau, walaupun unsur serangan merupakan adat resam berpolitik tetapi sebagai pemimpin yang telah meletakkan kakinya dalam dunia itu, ia adalah sebahagian perjalanan yang harus ditempuhi.

Beliau mengakui bukan perkara mudah tetapi sewajarnya dilalui dengan sabar dan tabah.

“Dalam menghadapi situasi begini, beberapa pendekatan iaitu pertama, head on lawan secara terbuka yang akhirnya hanya akan mencipta keretakan dalam parti, sedangkan sekarang ini usaha kita ialah mengerakkan ke arah penyatuan dan pengukuhan.

“Kedua, tenang dan sabar. Biar orang buat kita, jangan kita buat orang. Kita tumpu gerak kerja pengukuhan dan penyatuan. Kita gunakan kematangan dalam setiap keputusan, jangan kita gunakan emosi kerana itu yang mereka mahukan.

“Oleh itu, tepuk dada dan tanya diri kita. Jawapannya ada jauh di sudut hati kita. Saya pilih pengukuhan dan penyatuan, sama-sama kita terus berdoa dan istiqamah. Insya-Allah, Allah akan bersama kita dalam menongkah arus ini jika kita ikhlas dalam perjuangan abata,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Armand Azha yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang berkata, tidak guna menang sorak, kalau akhirnya parti hilang kuasa seperti mana pada PRU-14 lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. UMNO bukan sahaja akan hilang sorak, malah akan kehilangan segala galanya jika presiden parti masih lagi cuba mempertahankan kedudukannya. Perlu diingat, kemenangan UMNO bukan hanya dari sokongan ahli parti, tetapi pengundi yang bersimpati dan menaruh harapan kepada UMNO. Jika UMNO dipimpin oleh seorang yang mementingkan diri sendiri, bukan sahaja pengundi luar, ahli UMNO sendiri tidak akan menyokong parti. Presiden parti perlu berbesar hati meletakan jawatan dan memberikan kepada orang lain untuk memimpin parti. Terang lagi bersuluh, presiden parti menggunakan UMNO sebagai barangan tukar ganti untuk melepaskan diri beliau dari kes mahkamah dengan menyokong musuh UMNO @ Anwar Ibrahim. Itu pun ahli UMNO kena bersatu juga ka?

Comments are closed.