Daniel Ling Sia Chin
KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Segambut dan juga sebagai Pengerusi MCA di kawasan itu menggesa  Hannah Yeoh tampil dan mengemukakan bukti pihaknya menerima peruntukan kerajaan berjumlah RM3.5 juta seperti yang didakwa sebelum ini.
Datuk Daniel Ling Sia Chin berkata, dakwaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Segambut itu sangat serius dan pihaknya mahu bukti terhadap dakwaan tersebut.
Malah, katanya, berdasarkan dakwaan berkenaan, MCA berhak mengambil tindakan undang-undang sekiranya pemimpin DAP itu gagal mengemukakan bukti.
”Saya ingin mengulangi bahawa kami, mahu pun sukarelawan Perikatan Nasional (PN) yang lain tidak pernah menerima peruntukan seperti yang didakwa Hannah malah dana tersebut tidak pernah diagihkan.
”Bagi pihak MCA pula, kerja komuniti kami dibiayai sepenuhnya oleh pihak kami sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Daniel berkata, sejak Covid-19 mula melanda, beliau bersama-sama ahli-ahli MCA Segambut telah turun padang untuk menghulur bantuan membantu penduduk, dengan kerjasama daripada persatuan penduduk dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau juga membantah penggunaan istilah unelected politician atau ahli politik yang tidak dipilih oleh Hannah kerana kenyataan ini seolah-olah sindiran bahawa tiada orang yang akan menerima bantuan MCA kerana tidak dipilih sebagai wakil rakyat sebenar.
”Kami menegaskan tidak ada undang-undang yang melarang unelected politician daripada membantu rakyat malah bantuan kami tidak diperlukan sekiranya YB Segambut sendiri turun padang menjalankan tanggungjawab membantu pengundinya.
”Saya membuat kesimpulan bahawa fitnah DAP ini dibuat kerana mereka berasa terancam oleh layanan kami kepada penduduk di Segambut dan mereka ingin merosakkan imej kami melalui dakwaan yang tidak berasas,” ujarnya. – MalaysiaGazette