Datuk Hajiji Noor

KUALA LUMPUR – Kerajaan Sabah tidak akan meminggirkan, sebaliknya mendengar dan cuba membantu menyelesaikan masalah masyarakat Cina di negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sumbangan dan komitmen masyarakat tersebut dalam memajukan bidang perniagaan patut dicontohi.

“Sebagai kerajaan yang prihatin dan sentiasa mendengar denyut nadi rakyat tanpa mengira bangsa dan keturunan, kita sentiasa mendengar keluh resah rakyat di seluruh pelusuk negeri.

“Saya memberi jaminan kepada masyarakat Cina bahawa kerajaan sentiasa mendengar permasalahan mereka dan tampil dengan penyelesaian yang memberi manfaat,” katanya menerusi kenyataan.

Mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada masyarakat itu, Hajiji menyifatkan kepelbagaian tradisi, etnik dan bahasa adalah antara kekuatan Sabah.

Justeru beliau menyeru agar seluruh rakyat Sabah bersama-sama memajukan negari itu untuk menjadi lebih progresif.

Dalam menyambut Tahun Baru Cina, Hajiji turut mengajak rakyat negeri di bawah bayu itu supaya mengingati usaha petugas barisan hadapan dalam menangani Covid-19.

“Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina pada tahun ini, kita juga perlu sentiasa mengingati semua petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memerangi pandemic Covid-19 serta pasukan keselamatan dan kita akan terus mendoakan mereka dan ahli keluarganya.

“Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang. Marilah kita saling menghormati antara satu sama lain dan berusaha menuju kejayaan terutama dalam pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya di negeri ini,” tambah beliau. – MalaysiaGazette