Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Seorang individu tampil membuat laporan polis ke atas bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berhubung dakwaanya pernah ditawar percutian mewah oleh syarikat kartel daging ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Noor Hakimi Abdul Halim dari Kampung Rendang Pasir, Kedah membuat laporan itu di Balai Polis Daerah (IPD) Yan kira-kira jam 9 pagi ini, meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan itu yang disifatkan sebagai satu kesalahan serius.

“Ketika saya berada di rumah, saya membaca akhbar Berita Harian bertajuk, “Salahuddin dakwa pernah ditawar percutian mewah: Bekas menteri tolak pelawaan supaya ‘kartel’ jadi pilihan utama kementerian”.

“Dalam itu dilaporkan mengenai kisah Salahuddin menolak tawaran percutian kelas pertama di Eropah oleh sebuah syarikat kartel daging import ketika baru beberapa bulan dilantik jawatan menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Laporan polis yang dibuat seorang individu, Noor Hakimi di Balai Polis Yan, Kedah, pagi ini.

Beliau berkata, kenyataan itu mendedahkan kesalahan yang dilakukan Salahuddin kerana melanggar Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang mewajibkan mana-mana pegawai badan awam yang diberi, dijanjikan atau ditawarkan, apa-apa suapan untuk melaporkan pemberian, janji atau tawaran itu kepada pegawai SPRM atau polis yang paling hampir.

Katanya, kenyataan itu juga menyebabkan Salahuddin perlu disiasat di bawah Seksyen 25 (2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan bahawa kegagalan untuk melaporkan transaksi penyogokan adalah suatu kesalahan yang “apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya”.

“Kesalahan yang dibuat oleh Salahuddin ini serius kerana beliau adalah mantan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ahli Parlimen Pulai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram dan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) yang ramai pengikut.

“Oleh itu, saya minta polis membuat siasatan ke atasnya,” kata beliau.

Baru-baru ini, Salahuddin dilaporkan berkata, beliau dan keluarganya pernah ditawarkan perjalanan mewah ke Eropah sebagai “kunjungan hormat”, oleh seorang pengimport daging beku yang didakwa ada kaitan dengan skandal kartel daging.

Beliau memberitahu New Straits Times, pengimport tersebut mendekatinya beberapa bulan selepas PH mengambil alih Putrajaya pada 2018, dalam apa yang sepatutnya menjadi satu “sesi pengenalan” dengan pemain industri.

Namun, Timbalan Presiden Amanah itu merasa ada yang tidak kena ketika beliau ditawarkan pakej percutian ke Eropah sebagai “kunjungan hormat”.

“Mereka menawarkan pakej percutian mewah kepada saya dan keluarga. Perjalanan berbayar ke Eropah, tetapi saya menolaknya,” katanya kepada wartawan dalam wawancara itu. – MalaysiaGazette