Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 17.1 peratus pada Disember 2020 kepada 49,825 tan metrik berbanding 42,554 tan metrik pada bulan sebelumnya tetapi prestasi tahun ke tahun menunjukkan penurunan 14.7 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport getah asli Malaysia berjumlah 61,547 tan metrik pada Disember 2020, meningkat sebanyak 8.9 peratus berbanding 56,522 tan metrik pada November 2020.
Menurutnya, China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu 53.8 peratus daripada jumlah eksport pada Disember 2020 diikuti Jerman (10.2%), Amerika Syarikat (5.4%), Taiwan (2.7%) dan Iran (2.5%).
Sarung tangan getah masih merupakan item eksport utama dengan nilai eksport RM4.5 billion pada November 2020, meningkat sebanyak 3.6 peratus kepada RM4.6 billion pada Disember 2020.
Amerika Syarikat, China dan Jerman merupakan antara negara pengimport tertinggi sarung tangan getah.
Stok getah asli menurun pada Disember 2020 iaitu kepada 249,555 tan metrik berbanding 259,443 tan metrik pada November 2020 dengan penurunan 3.8 peratus.
”Harga purata bagi Lateks Pekat merekodkan penurunan kepada 582.79 sen sekilogram berbanding November 2020 (620.76 sen sekilogram).
”Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M. 20) turut menunjukkan penurunan kepada 628.74 sen sekilogram berbanding 632.74 sen sekilogram bagi tempoh yang sama,” katanya.
Beliau menambah, penggunaan getah asli di peringkat domestik pada Disember 2020 ialah 42,356 tan metrik, menurun sebanyak 4.5 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Pembuatan sarung tangan getah terus mendominasi industri pembuatan getah asli iaitu penggunaan sebanyak 31,498 tan
metrik atau 74.4 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik. – MalaysiaGazette