Anggota polis mengawal ketat Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh.

AYER KEROH – Kompleks Mahkamah Melaka jadi tumpuan hari ini apabila ibu kandung dan bapa tiri kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun yang ditemui lemas dalam tong air di Krubong dihadapkan ke muka pengadilan.

Kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh terlebih dahulu sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen.

Difahamkan pasangan suami isteri itu akan didakwa Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 di Mahkamah Sesyen kerana mendera anak mereka.

Suspek tiba di mahkamah dengan dua kenderaan berasingan namun kelibat mereka belum kelihatan lagi kerana menggunakan laluan lain.

Sementara itu, ibu kepada suspek wanita kelihatan berada di mahkamah pada jam 8 pagi tadi.

Turut kelihatan berada di mahkamah ialah Pengarah Pendakwaan Negeri, Timbalan Pendakwa Raya, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman serta peguam suspek.

Kanak-kanak tersebut ditemui meninggal dunia di kediamannya di Taman Krubong Jaya, Paya Rumput, Jasin, Melaka dalam sebuah tong air berketinggian 60.9 sentimeter kira-kira jam 4 petang pada 29 Januari lepas.

Hasil siasatan polis mendapati, pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa menemui kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan. – MalaysiaGazette