Vaksin Pfizer-BioNTech
LONDON – Satu dos vaksin Pfizer-BioNTech menawarkan perlindungan dua pertiga terhadap koronavirus.
Penemuan data awal dari program vaksinasi di United Kingdom (UK), yang akan dikeluarkan dalam beberapa hari lalu menunjukkan dos pertama mengurangkan risiko jangkitan simptomatik dalam kalangan pesakit sebanyak 65 peratus pada orang dewasa yang lebih muda.
Manakala 64 peratus bagi mereka yang berusia lebih dari 80-an.
Data, yang pertama kali dilaporkan oleh akhbar, The Sun, menunjukkan dua dos vaksin Pfizer menyaksikan perlindungan meningkat antara 79 dan 84 peratus, bergantung pada usia.
Vaksin AstraZeneca juga menawarkan perlindungan yang serupa, kata akhbar itu.
Walaupun hasil keberkesanan lebih rendah daripada yang ditemui dalam ujian klinikal Pfizer, Perdana Menteri, Boris Johnson berpendapat data nyata pertama di UK sebagai dorongan yang signifikan dalam usaha untuk melakukan vaksinasi penduduk.
Pelaksanaan vaksin besar-besaran yang berjaya adalah harapan Kerajaan Britain untuk membuka semula ekonomi setelah beberapa kali melaksanakan sekatan pergerakan.
Lebih daripada 12.6 juta orang di UK telah menerima dos pertama, sama ada suntikan Pfizer atau vaksin Oxford-AstraZeneca, menurut data terbaru yang diterbitkan pada hari Selasa lalu.
Ia merangkumi lebih daripada 90 peratus dalam kalangan usia 80-an.
Johnson menetapkan sasaran untuk melakukan vaksinasi hampir 15 juta orang pada 15 Februari ini, dengan fokus pada kumpulan yang paling rentan dan pengasuh mereka.
Selepas itu, pasukannya akan mempertimbangkan bila dan bagaimana hendak menarik sekatan pergerakan kali ketiga di Britain, yang telah berlangsung selama sebulan dan telah menambah kerosakan ekonomi akibat kemelesetan paling ketara dalam tempoh lebih daripada 300 tahun.
Mulai 8 Mac ini, sekolah-sekolah dapat dibuka kembali, diikuti dengan kelonggaran sekatan-sekatan lain.
Tetapi ketika program vaksin dilakukan di UK, timbul satu keraguan besar sama ada suntikan itu akan berkesan terhadap strain koronavirus baharu.
Minggu ini, Johnson memimpin usaha untuk meyakinkan masyarakat bahawa vaksin akan tetap berfungsi untuk mencegah penyakit dan kematian tinggi akibat varian koronavirus Afrika Selatan. – MalaysiaGazette