KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang menjalani rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Pesakit Covid 19 (PKRC) Maeps, Serdang disiasat selepas dakwaan berlaku kecurian beberapa telefon bimbit milik pesakit-pesakit di pusat berkenaan.

Siasatan itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada pegawai perubatan yang mendakwa berlaku kekecohan dalam kalangan pesakit di dewan tersebut.

Malaysia Gazette difahamkan kecurian itu telah menimbulkan kekecohan dan ketegangan di dalam PKRC itu hingga terpaksa meminta bantuan polis bagi mengawal dan meredakan keadaan.

Ketua Polis Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razali Abu Samah yang mengesahkan kejadian itu berkata, dua lelaki yang juga pesakit Covid-19 itu telah dipindahkan ke Dewan DG bagi tujuan keselamatan.

Malah, beliau berkata, pegawai perubatan tersebut juga telah merampas empat buah telefon bimbit yang disyaki dicuri oleh suspek-suspek tersebut.

Razali berkata, suspek kedua yang dibenarkan keluar dari PKRC pada hari ini akan ditahan untuk siasatan lanjut.

Manakala suspek pertama berusia 24 tahun ditahan esok sebaik sahaja dibenarkan keluar.

Kedua-duanya akan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette