Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) menerima kira-kira 40 permohonan daripada pihak yang berminat bagi memperoleh lesen perniagaan perbankan digital, kata Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

BNM menjangkakan untuk memberi lesen perniagaan perbankan digital itu pada suku pertama 2022,” katanya pada sidang media maya bagi mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat Malaysia, hari ini.

Nor Shamsiah berkata, lima lesen perbankan digital itu mungkin akan dikeluarkan kepada pemohon yang berkelayakan.

“Dalam kertas dasar BNM, kami telah menyebut bahawa bank digital dijangka dapat memperkenalkan aplikasi teknologi yang inovatif yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia, khususnya penekanan diberikan kepada kemampuan dan prospek pemohon untuk memenuhi keperluan kewangan bagi segmen pengguna yang kurang dan tidak mendapat liputan perkhidmatan perbankan,” katanya.

Pada bulan Disember 2020, BNM mengeluarkan draf pendedahan mengenai kertas perundingan untuk mendapatkan maklum balas berhubung rangka kerja bank digital yang menjadi sebahagian daripada langkah yang diambil oleh bank untuk membolehkan penggunaan teknologi inovatif dalam sektor kewangan.

Draf pendedahan itu menggariskan rangka kerja untuk perlesenan bank digital bagi menjalankan perniagaan perbankan konvensional atau Islam di Malaysia yang menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan.

BNM menetapkan 30 Jun, 2021 sebagai tarikh akhir penyerahan permohonan lesen perbankan digital tersebut. – MalaysiaGazette