Keadaan di lokasi tempat pembunuhan Mohsen Fakhrizadeh, dekat kampus Universiti Islam Islam Damavand. foto Agensi

BAITULMAQDIS – Saintis nuklear Iran yang maut di Teheran pada bulan November tahun lalu, dibunuh menggunakan senjata api satu tan yang diseludup masukĀ  ke Iran oleh Mossad, badan perisik Israel, menurut laporan The Jewish Chronicle.

Memetik sumber perisikan, media mingguan Britain itu melaporkan sepasukan yang terdiri lebih daripada 20 ejen, termasuk warga Israel dan Iran, melakukan serangan terhadap Mohsen Fakhrizadeh setelah melakukan pengintipan selama lapan bulan.

Setakat ini, Reuters belum dapat mengesahkan laporan yang disiarkan di laman web akhbar berkenaan yang berpusat di London.

Media Iran mengatakan Mohsen meninggal dunia di hospital setelah pembunuh bersenjata menembaknya di dalam keretanya.

Iran telah mendakwa kematian Mohsen didalangi oleh Israel sejurus selepas tragedi itu.

Malah, Menteri Luar Negeri Javad Zarif dalam ciapannya di Twitter berkata, terdapat “petunjuk serius mengenai peranan Israel.”

Tetapi Israel enggan mengulas dakwaan Iran yang dibuat pada bulan November.

Mengulas laporan terbaharu media itu, seorang jurucakap pemerintah Israel berkata: “Kami tidak pernah memberikan kenyataan mengenai hal-hal seperti itu. Tidak ada perubahan dalam kedudukan kami,”.

Mohsen, 59, telah lama dicurigai oleh Barat kerana dipercayai mendalangi program bom nuklear rahsia.

Dia telah digambarkan oleh badan perisikan Barat dan Israel sejak bertahun-tahun sebagai pemimpin misteri program bom atom tersembunyi yang dihentikan pada tahun 2003.

Israel dan Amerika Syarikat mendakwa Tehran cuba untuk memulakan semula program tersebut namun dinafikan Iran. – MalaysiaGazette