Foto Eurosport.

QATAR – Bayern Munich menjulang Piala Dunia Kelab mengatasi kelab Mexico, Tigres 1-0 di sini awal pagi tadi dengan skuad dari Jerman itu meraih enam gelaran dalam tempoh 12 bulan.

Benjamin Pavard menjadi wira apabila jaringan pada babak kedua, sekali gus mengesahkan kemenangan itu.

Ini adalah kali kelapan berturut-turut pemenang Liga Juara-Juara memenangi Piala Dunia Kelab ketika Bayern mengikut jejak langkah juara tahun lalu, Liverpool.

Bayern adalah pasukan kedua menang semua gelaran dalam tempoh setahun selepas kejayaan dilakar Barcelona pada 2009.

Skuad kendalian Hansi Flick sudah memenangi Liga Juara-Juara, Bundesliga, Piala Jerman, Piala Super UEFA dan Piala Super Jerman musim lalu.

“Saya rasa puas apabila menang enam kejuaraan – enam gelaran berturut-turut ialah sesuatu yang sangat istimewa buat kami,” kata penyerang Bayern, Robert Lewandowski yang membantu untuk gol kemenangan Pavard.

Sejak Flick mengambil alih Bayern pada November 2019, juara Eropah itu hanya tewas lima perlawanan, memberikannya lebih banyak gelaran berbanding kekalahan sebagai bos kelab berkenaan. – MalaysiaGazette