Ibu bapa membeli komputer riba sebagai persediaan kemudahan anak-anak mengikuti sesi Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) berikutan penutupan sekolah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di Pasaraya Digital, Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JANUARI 2021.

ALKISAHNYA pada suatu hari, sang menteri yang menjaga urusan pendidikan tiba-tiba
mengumumkan penarikan balik persekolahan secara terbuka dan mengarahkan agar
dilaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.
Maka, kelam-kabutlah para ibu bapa mencari gajet dan mendapatkan akses Internet untuk memudahkan ana-anak mereka belajar. Sudahnya peniaga mengambil kesempatan
menyebabkan harga gajet melambung kerana keributan ini.

Namun begitu, kajian pada tahun lepas oleh kementerian yang menjaga pendidikan itu sendiri sudah diketahui bahawa hampir 37 peratus pelajar di negara ini tidak mempunyai gajet langsung untuk belajar. Tapi, jangan risau. Bagaikan hero, pak menteri kita yang jaga perbendaharaan kata, ada peruntukan 150,000 komputer riba percuma melalui sumbangan dana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sebanyak RM150 juta, dan akan dipercepatkan proses penyerahannya pada bulan ini.

Wah, baiknya kerajaan yang amat prihatin dengan keresahan ibu bapa dan pelajar yang
menghadapi PdPR. Tapi nanti dulu, ceritanya belum habis lagi… Rupa-rupanya ia hanya
pinjaman. Ya, pinjaman macam buku teks dan ia perlu dipulangkan semula kepada
Kementerian Pendidikan setelah digunakan. Lawak apakah ini? Stor mana pula nak simpan komputer riba di sekolah bila cuti hujung tahun? Risau kalau-kalau pencuri pun sudah tahu ‘port’ mana nak mencuri sebab ia boleh dikatakan barang berharga.

Kalau dah sebulan lebih cuti sekolah hujung tahun, adakah komputer riba tu diselenggara
secara berkala sepanjang cuti atau dibiarkan mereput di stor sekolah seperti buku teks?
Mungkin sebahagiannya akan rosak jika tidak diselenggara dengan baik. Penulis jangka akan ada peluang pekerjaan baharu untuk menjaga, menyimpan dan menyelenggara komputer riba pinjaman ini. Kalau tidak, mungkin guru juga yang akan jadi mangsa untuk mengurusnya.Tapi kerajaan masih lagi baik kerana memperkenalkan data Internet percuma sebanyak 1GB sehari kepada semua rakyat Malaysia sejak April tahun lalu dan diteruskan sehingga kini.

Syukur alhamdulillah. Data Internet 30GB sebulan tu, bukan sikit lebih-lebih lagi pada musim pandemik ini. Tapi ceritanya masih belum habis lagi…Dianggarkan bahawa penggunaan data Internet bagi kelas dalam talian seorang guru selama empat jam sehari adalah sebanyak 4GB, sama juga jumlahnya dengan seorang murid. Jadi, jika persekolahan selama sebulan adalah 20 hari, maka dianggarkan sebanyak 80GB data Internet digunakan untuk setiap guru dan pelajar.

Maka, jika ditolak 30GB daripada 80GB itu, tinggallah 50GB. Mana nak cari 50GB ini? Bak kata Raja Lawak, Nabil Ahmad, “Lu fikir la sendiri…” Untuk penggunaan data 50GB ke atas, rata-rata syarikat telekomunikasi mengenakan caj sekitar RM80 hingga RM100 sebulan. Eh, nanti dulu, itu untuk seorang pelajar. Kalau anak ramai yang belajar macam mana? Sekali lagi, “Lu fikir la sendiri…”

Mungkin ada yang kata, “Langganlah yang data yang ‘unlimited’, baru boleh guna Internet sepanjang masa tanpa had.” Ya, memang ada pakej tanpa had tapi lihatlah pada kelajuannya, yang sebenarnya ada had. Jadi kalau nak ikuti kelas dalam talian dengan Internet tanpa had dengan kelajuan terhad, boleh jadi talian Internet akan kerap terputus sepanjang kelas.

Itu baru seorang. Kalau ibu, bapa, adik-beradik kongsi guna liputan Internet yang sama, macam mana? Lagilah ‘azabnya’ kelembapan kelajuan Internet apabila ia dikongsi secara ‘hotspot’. Jika seorang pun kurang stabil dan kadang terputus, bayangkan kalau ramai yang menggunakannya serentak.

Penulis menyambut baik saranan Ahli Parlimen Pulai, YB Salahuddin Ayub agar syarikat-
syarikat telekomunikasi mengurangkan harga data Internet ketika kebanyakan pelajar terpaksa bergantung kepada kelas dalam talian untuk tujuan PdPR. Sudah tentu banyak keluarga yang tidak mampu menanggung kos Internet yang tinggi dan perlu menambah lagi bayaran jika memerlukan tambahan data Internet ketika PdPR ini demi
kelangsungan pendidikan anak-anak. Dengan menambah kuota data Internet dan
mengurangkan harganya bagi keluarga yang kurang mampu, ia amat meringankan beban
mereka.

Syarikat-syarikat telekomunikasi besar negara wajar menerima saranan ini memandangkan pihak mereka sudah menjana keuntungan yang besar dan berlipat ganda, lebih-lebih lagi pada musim pandemik ini ketika kebanyakan rakyat bekerja dari rumah (WFH) serta guru, pelajar, pensyarah dan mahasiswa yang melanggan dan menggunakan data Internet dengan banyak untuk kelas dalam talian.

Tidak pernah lagi saya dengar syarikat telekomunikasi gulung tikar dan rugi di negara ini,
melainkan sentiasa menghasilkan keuntungan demi keuntungan, ratusan juta. Apa salahnya diagihkan sedikit keuntungan itu manfaat bersama untuk membina generasi pemimpin masa depan. Mungkin kerajaan boleh mengurangkan cukainya kepada syarikat-syarikat ini yang telah membantu rakyat yang susah ketika ini.

Oleh itu, wajarlah bagi semua pihak agar menggembleng usaha bagi mengatasi isu ini dan bukan diletakkan di bahu Kementerian Pendidikan semata-mata. Kasihanilah pada kementerian ini yang teruk ‘dihentam’ kerana ketidakcekapannya mengurus kemelut PdPR. Mungkin ‘hentaman’ ini perlu ‘dikongsi bersama’ dengan kementerian-kementerian berkaitan yang lain.

Oleh itu, kerajaan perlu usahakan sesuatu supaya isu gajet dan Internet ini dapat diselesaikan dengan sebaiknya.

Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti
Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia