Nurul Hidayah Ahmad Zahid pernah mencecah berat 100kg.

KUALA LUMPUR –  Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid mengakui dia pernah mengalami masalah berat badan hingga mencecah 100 kilogram (kg).

Demi kesihatannya, wanita berusia 42 tahun itu mengambil keputusan menjalani pembedahan bariatrik (pintasan perut) atau istilah popular dalam kalangan masyarakat ‘potong usus’ kira-kira 11 tahun lalu.

“Sejujurnya, saya mengaku kepada orang ramai bahawa melakukan prosedur kecilkan kantung perut. 

“Saya menjalani pembedahan bariatrik Sleeve Gastrectomy (kategori gastrektomi lengan),” katanya menerusi laman sosial Instagram @nurul.zahid di sini.

Nurul menambah, hasil prosedur berkenaan berat badannya yang mencecah 100kg sebelum ini berjaya diturunkan hingga 58kg dalam tempoh setahun setengah.
“Saya tak tipu, malah turut memberi cadangan kepada individu yang obesiti untuk buat (bariatrik). Tak mahal pun sebab pada 11 tahun lalu kos prosedur sebanyak RM15,000. Sekarang dah mahal, tetapi berbaloi,” katanya,
Perkongsian Nurul itu mengenai pengalaman melakukan bariatrik pendapat respons positif daripada warga maya.
Majoriti netizen bertanya lebih lanjut kebaikan dan keburukan mengenai prosedur terbabit.

Antaranya, ada followers yang memikirkan kesan pada kulit badan selepas menjalani prosedur bariatrik sama ada ia akan mengelebeh ataupun tidak.

“Soalan yang bagus. Ia bergantung kerana kalau gemuk jawapannya, ya. Cuma lepas tiga bulan kena rajin bersenam.

“Lakukan facial urut muka. Kalau malas bersenam pergi menjalani urutan badan dua kali seminggu bagi mengelakkan kulit kendur,” tulisnya.

Sementara itu, menerusi ruangan IG Stories pula dia menjawab pertanyaan daripada warga maya yang bertanyakan tentang selera makan selepas pembedahan.

“Selepas menjalani pembedahan selera makan tak menurun kerana keinginan untuk menikmati makanan itu sentiasa ada.

“Memang saya stres sebab apabila makan akan muntah. Saya mengambil masa selama setahun untuk membiasakan diri dengan situasi ini. Jadi saya makan dalam kuantiti yang sedikit,” jawabnya yang memiliki ketinggian 167 sentimeter.

Sementara itu, Nurul yang ibu kepada tiga anak juga menasihatkan individu supaya positif dan jangan malu berterus-terang apabila menjalani pembedahan bariatrik.

Jangan sesekali menipu dengan menyatakan kejayaan kurus itu kerana bersenam, berdiet atau makan produk kurus jenama sendiri.

“Pendapat saya berlaku jujur dan jangan malu kongsi perkara baik. Nak malu apa potong usus atau kecilkan perut?

“Bukan untuk kecantikan pun kerana ia untuk kesihatan. Kalau memang cantik gemuk 200kg pun cantik lagi. Tapi, dengan prosedur macam saya beritahu tadi (bariatrik) adalah lebih cepat dan lebih sihat,” katanya. – MalaysiaGazette